Malaysia Dateline

Rakyat marah darurat gagal kawal Covid-19, SOP dua darjat

Rakyat marahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan pelaksanaan darurat terbukti gagal mengawal penularan Covid-19, kata Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, rakyat juga mula tidak berpuas hati dengan sikap ahli politik yang menyebabkan munculnya gelombang ketiga penularan Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Berbeza dengan tempoh sebelum itu, walaupun susah, rakyat masih boleh menerima pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan siri lanjutannya sehingga 12 Mei 2020 susulan tercetusnya kluster tabligh.

“Namun, selepas PRN Sabah pada September 2020, rakyat mula merungut. Rakyat menilai gejala ini berlaku kerana manusia politik tamak kuasa.

“Pada 12 Januari 2021, kerajaan mengisytiharkan darurat untuk menangani penularan jangkitan Covid. Maka, rakyat bertanya, sejak darurat diisytiharkan, berjayakah kerajaan mengawal pandemik Covid ini?

“Data menunjukkan tidak berjaya‬ dan inilah yang menyebabkan rakyat marah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut mengimbas sikap rakyat yang tidak marah meskipun pasukan keselamatan bertindak tegas terhadap individu yang ingkar SOP antara Mac hingga Ogos tahun lalu memandangkan ketika itu tiada amalan dua darjat, kluster menteri dan kluster kayangan.

“Pada Raya Puasa Mei 2020, rakyat dilarang merentas negeri. Rakyat sedih, tetapi tidak marah kerana faham kesungguhan kerajaan untuk menangani gejala ini,” jelasnya.

Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

Beliau kemudiannya menyenaraikan sembilan perkara yang menunjukkan kegagalan pelaksanaan darurat dalam membendung jangkitan Covid-19 sekali gus mengundang kemarahan rakyat:

1. Pada 12 Januari 2021 semasa darurat diisytiharkan, bilangan kes positif Covid ialah 141,533 dengan 559 kematian. Pada 1 Mei 2021, jangkitan ini meningkat kepada 411,594 dengan 1,521 kematian.

2. Kadar vaksinasi lembab. Setakat hari ini 9,424,263 orang sudah mendaftar untuk mendapat vaksin, dan yang sudah divaksin cuma 880,771.‬

3. Pengangguran bertambah‬. Pekerja yang hilang pekerjaan sejak Covid adalah seramai 125.1 ribu orang dan penganggur adalah seramai 777.5 ribu orang.

4. Kerajaan tidak mempunyai polisi yang jelas. Banyak yang diuruskan sekarang adalah secara ad hoc.

5. Peluang pekerjaan terbatas‬.

6. Ekonomi suram.

7. Pelaburan asing merudum, malah yang sedia adapun berpindah keluar.‬

8. Menteri dan timbalan menteri ramai, tetapi rakyat menilai mereka sebagai tidak begitu berfungsi. Ini membazirkan wang negara yang boleh dialihkan untuk kegunaan lain.

9. Parlimen digantung untuk elak akauntabiliti dan buat Ordinan yang tidak mesra rakyat.

Dalam masa sama, Agus berpendapat rakyat juga kecewa, tertekan dan marah kerana tiga faktor iaitu harga barang mahal, amalan dua darjat dan SOP kelam-kabut.

Sehubungan itu, beliau berkata, penguatkuasaan SOP tanpa mengecualikan golongan kenamaan akan menjadikan rakyat boleh menerima kewajaran kerajaan yang tidak membenarkan balik kampung.

“Kembali kepada balik Raya dan larangan rentas negeri, jika itu keputusan kerajaan, rakyat faham.

“Tetapi dengan syarat, jangan ada amalan dua darjat dan pelaksanaan SOP yang tidak adil. Sekarang ini, rakyat tidak selesa,” tambahnya.