Rakyat Melaka terima baik pembaharuan 100 hari PH

Mohd Sofi Wahab menyampaikan sumbang peti sejuk di masjid Kg. Panchor, Dun Durian Tunggal.

Pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Melaka jelas diterima baik masyarakat dan bakal melonjakkan negeri ini pada masa depan.

Pengerusi Kerja Raya, Pengangkutan dan dan Kemudahan Awam, Mohd Sofi Wahab berkata, penerimaan setiap lapisan bakal menjadikan kemakmuran negeri yang lebih menyeluruh akan menjadi kenyataan.

“Sepanjang sidang Dun yang baru selesai jelas wakil-wakil pembangkang gagal menunjukkan mereka masih relevan dalam membela rakyat,” katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran pencapaian 100 hari PH Melaka semalam

Paling utama katanya adalah langkah-langkah yang diumumkan kerajaan untuk menutup pintu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Ketua Menteri dua penggal, kewajipan isytihar harta pemimpin politik dan ketelusan dan pemberian kontrak dan tender amat dialu-alukan.

“Penubuhan badan pemantau MCAT amat penting sebagai landasan bagi menentukan kecenderungan ketirisan dan penyelewengan ditutup sejak awal,” katanya.

Sebelum itu Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam ucapannya menyenaraikan lebih 40 pembaharuan selepas beliau mengambi alih pentadbiran sejak tiga bulan lalu.

Bagi membina hubungan langsung dengan rakyat katanya, kerajaan melancarkan aplikasi ADU2me yang membolehkan segala aduan diberi perhatian.

“Ini adalah inisiatif kerajaan negeri ini yang boleh dimuat turun melalui Android dan IoS secara percuma,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan yang melibatkan semua agensi di bawah kerajaan negeri itu dapat memantap serta memperkasakan sistem kecekapan dalam masa sama menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih sistematik.

Beliau berkata, lebih penting pengadu mahupun orang ramai mengetahui lebih lanjut status aduan mereka sama ada sedang dalam tindakan ataupun sebaliknya bagi menggelak sesuatu aduan itu terlepas pandang ataupun mengambil masa panjang untuk diselesaikan.

“Ia direka dengan kemudahan dwi bahasa yang menampilkan sembilan fungsi antaranya, struktur kerajaan negeri, pautan adu2me yang membolehkan aduan dibuat, maklumat mengenai Ketua Menteri dan banyak lagi.

“Apapun fokusnya bagi tujuan aduan, jadi apa sahaja aduan yang sebelum ini disalurkan melalui WhatsApp, boleh disalurkan ke Adu2me kerana ia direka tujuannya supaya segala aduan itu kita dapat selaraskan dan salurkan kepada jabatan,” katanya.

CATEGORIES