Rakyat menanti janji PH ditunaikan, kata pendaki veteran Bukit Broga

Rakyat menanti janji PH ditunaikan, kata pendaki veteran Bukit Broga

Lincah dilihat menuruni Bukit Broga, sosok warga emas itu menarik perhatian rata-rata pendaki muda yang sedang berehat di puncak tinjau pertama di ketinggian 268 meter (880 kaki) dari paras laut.

Beliau yang bertubuh atlet itu pula ramah dan kerap menyapa selain memberi semangat kepada pendaki lain yang berselisih dengannya.

Sudah tinggal lebih 20 tahun di Semenyih, Ramli Mat Nor yang berjanggut putih itu pada mulanya berseloroh apabila memberitahu usianya.

“Umur saya baru 65 (tahun),” jawabnya sambil ketawa besar ketika ditemui Malaysia Dateline pagi semalam.

Namun, bekas jurutera forensik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) tersebut serius berkongsikan pendapatnya sejurus ditanya tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih.

Menurutnya, rakyat sedang menanti kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei tahun lepas.

“Berjanji tapi tidak buat. Kita mahu mereka buat apa yang dijanjikan. Rakyat sedang tunggu apa dia (kerajaan PH) buat.

“Rakyat dulu marah BN dengan isu kos sara hidup tinggi. Harga barang naik tinggi. Gaji kakitangan kerajaan pun naik.

“Tapi bagaimana dengan pekerja swasta?” bidasnya yang bakal membuang undi di Sekolah Rendah Bandar Rinching, 2 Mac ini.

Ramli mengingatkan kerajaan PH bahawa rakyat tidak pernah lupa dengan janji yang ditabur sehingga menyaksikan BN tumbang buat pertama kali dalam sejarah politik pilihan raya di negara ini.

“Macam janji turunkan harga minyak. Anwar mengaum-ngaum kata menang (pilihan raya), esoknya  harga minyak turun RM1.50. Rakyat ingat ini semua, tidak lupa.

“Sekarang, apa sudah jadi? (Pinjaman) PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) janji tak perlu bayar. Tengok, apa sudah jadi?

“Tol percuma jadi apa sekarang? Janji palsu. Itu yang kita marah. Semua kita sokong PH kerana janji yang ditabur.

“Malangnya, kamu (PH) telah memberi kami harapan palsu. Kalau dah kena ‘kencing’ (tipu) takkanlah pangkah lagi. Kita takkan dua, tiga kali kena ‘kencing’.

“Kita memang suka apa yang PH sebelum ini janjikan tetapi tiba bab tunai janji, macam-macam alasan diberi,” ujar bapa kepada tiga anak tersebut.

Paling sukar untuk diterima, kata pengamal makan nasi hanya pada waktu tengah hari itu, adalah sikap PH yang terus menyalahkan kerajaan BN terdahulu.

“Apabila kita marah, dia (PH) persalahkan kerajaan sebelum ini pula. Tidak boleh. Kamu (PH) patut ambil tanggungjawab.

“Buat apa sahaja cara supaya harga minyak turun. Tunjukkan penyelesaian bukannya selepas sembilan bulan pegang Putrajaya pun masih persalahkan kerajaan sebelum ini.

“Awal-awal cukuplah. Sekarang kuasa di tangan, mengapa masih mencari kesalahan orang lain? Macam di Selangor, negeri sudah dikuasai sejak tahun 2008. Patutnya lebih makmur lagi. Nak salahkan apa lagi?” hujahnya.

Rata-rata pengundi Semenyih yang ditemui di Bukit Broga mempersoal janji PH pada PRU-14 lalu.

“Kami mahu hospital!”

Hasil tinjauan Malaysia Dateline juga mendapati rata-rata pengundi Semenyih menuntut kerajaan PH mendirikan hospital memandangkan Hospital Kajang terlalu padat.

Ramli turut tidak terkecuali menyuarakan tuntutan sama. Itulah sebabnya beliau terkilan dengan percanggahan kenyataan antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung keperluan mendesak tersebut.

“Bila calon (PH) kata nak buat hospital, menteri kata tidak pula. Apa hal ini? Takkan mereka tiada dalam kumpulan WhatsApps?” tempelaknya.

Mengulas potensi calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul, 25 dan calon Bebas, Kuan Chee Heng, 56, atau ‘Uncle Kentang’, beliau menganggap kedua-duanya mungkin hilang deposit.

“Kalau nak tunjuk undi protes bolehlah tetapi dalam konteks di Semenyih pengundi atas pagar sedikit. Majoriti pengundi taksub Pas, taksub BN dan taksub DAP,” tambah pesara kerajaan yang berpencen mulai tahun 1996 itu lagi.

Ramli antara 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK N24 Semenyih mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.

PRK kali ini adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. PH menang di ketiga-tiga PRK sebelum ini iaitu di Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Penulis (kanan) dan jurufoto, Syafiq Iskandar bergambar bersama Ramli Mat Nor.