Malaysia Dateline

Rakyat mengeluh isu ketiadaan parkir setiap kali kondo baru naik, LRT pun tiada, dibina entah dekat mana

Setiap kali kondominium atau rumah jenis apartmen sedang dibangunkan, penduduk sekeliling akan dilanda keresahan. Selepas siap sesuatu bangunan itu, bersusun kereta di tepi-tepi jalan raya kerana isu parkir yang tidak berkesudahan.

Apabila dibina LRT atau MRT pula, ia tidak ditumpukan di kawasan penduduk padat yang seharusnya mendapat kemudahan tersebut. Tetapi sebaliknya kerajaan membina kemudahan ekspres itu di tanah kosong dan tidak mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Seperti yang diluahkan laman GagMalaysia, mereka menyuarakan isu ketiadaan parkir yang cukup untuk penghuni apartmen sehingga menyebabkan laluan di tepi-tepi jalan raya dijadikan parkir orang ramai.

Mereka membuat seruan agar kerajaan sebelum meluluskan sebarang projek dengan kepadatan yang tinggi, fikirkan juga akses kepada laluan bas dan LRT atau MRT.

“Kondo macam ni biasa satu unit satu je parkir. Lepas tu rakyat terpaksa beli dua tiga biji kereta walaupun satu keluarga. Akhirnya kereta parkir kat mana? Tepi jalan lah.

“Ini pergi bina laluan LRT/MRT lalu kat entah mana tanah kosong, stesen kat hutan, katanya untuk ‘future development‘. Nak bina bandar baru. Jadi selama ni LRT/MRT tu dibina sebagai pelaris projek hartanah je ke? Fikirlah sikit keperluan rakyat yang sekarang.

“Contohi Singapura tu sikit. Bila bina HDB, dia pastikan di sekitar ada food court, ada pasar raya, ada sekolah, ada ruang pejalan kaki berbumbung dan diteduh pokok sampai ke stesen MRT. Barulah selamat nak jalan kaki.

“Kalau kat Jepun sana pula, kat ceruk kampung pun masih ada bas mini masuk. Mana pergi “polisi pandang ke timur” tu? Pandang je tapi tak belajar ke?,” soalnya yang menyuarakan luahan rakyat bandar.

GagMalaysia turut menyuarakan keprihatinan terhadap warga tua yang sudah tidak cekap memandu tetapi terpaksa memandu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Rakyat melihat, penduduk bandar middle class lagi tersepit di zaman inflasi ini disebabkan banyak berhutang termasuk hutang rumah, hutang kereta pertama, hutang kereta kedua, dan seterusnya.

“Belum kira kos tol, minyak, maintenance, insurans, kos bayar parkir bila keluar. Ramai orang tak kira running cost sebenar memiliki kereta. Kalau dia orang betul kira kos membela kereta, ramai marah mat.

“Berhentilah asyik main politik dan main sentimen kaum/agama, mula selesaikan masalah ekonomi yang kita hadap depan mata hari-hari,” ujar luahan itu lagi.