Malaysia Dateline

Rakyat mengeluh YB ‘hilang’ selepas pilihan raya

Siapa yang tidak rindu setelah sekian lama hanya mendengar serta mendamba hanya pada namanya sahaja tidak pada sosok tubuh yang mesra. Keluhan dan rayuan dari bisik-bisik yang lelah pastinya menginginkan sesuatu yang utuh untuk disentuh.

Berjalan di pasar tani di Parlimen Johor Bahru, khalayak tertumpu kepada diri saya yang mengendong beg galas sambil kamera di tangan.

Lantaran tugas yang baru sahaja habis dijalankan, pastinya kamera hanya tergantung di bahu saya. Singgah di khemah yang menjual ayam goreng, seorang mak cik terus menyapa, ‘adik wartawan ke?’

Tepat sangkaan dan pertanyaan itu dijawab anggukan dari diri yang ditanya. Sepintas laju sambil membungkus ayam yang dipinta mak cik itu terus meluahkan kata kedua, ‘adik tolong tuliskan berkenaan YB yang tidak turun padang, kami kat sini ada masalah dengan status tapak ni?’

Pastinya terkedu adalah pilihan waktu itu dan acap kali mak cik itu menyebut soal YB yang tidak menonjolkan wajah mereka. Hanya mampu dibalas janji untuk membawakan suara mak cik itu, saya pun beredar untuk mencari air kelapa melepaskan dahaga yang mulai menikam.

Gerai yang dicari ditemui, sekali lagi dilontarkan soalan sama ‘wartawan ke? atau jurugambar?’ Soalan itu dijawab dengan kenyataan kedua-duanya benar. Hasil dari pengakuan itu, soalan kedua juga bersambung dengan menyatakan bahawa ‘tiada YB kelihatan’.

Reaksi mereka hanya berkisar soal YB yang sudah tidak kelihatan selepas menang PRU 14. Ada juga yang menyambung dengan menyatakan sebelum PRU wajah mereka sering kelihatan meraih undi.

Perkara yang sama, kisar ceritanya berlaku di kawasan Parlimen Tebrau dengan keluhan yang sama. Fenomena ini amat perit jika perkara ini terus berlarutan. Hakikat ini jelas menggambarkan suatu keadaan yang parah terhadap wakil rakyat yang dipilih oleh pengundi pada PRU 14 yang lalu.

Dua minggu lalu, perhatian saya ingin menjenguk ke program ‘Info On Wheels’ anjuran Jabatan Penerangan Malaysia bersama Adun Kota Iskandar, Sr Dzukefly Ahmad. Apa yang menarik, respon peniaga dan orang ramai telah memberikan gambaran sebenar berkenaan apa yang didahagakan oleh mereka.

Saya berjalan lebih ke 10 khemah peniaga dan bertanya berkenaan langkah yang diambil oleh Adun di tempat mereka itu. Pasar Tani Taman Nusantara di bawah Dun Kota Iskandar itu antara pasar tani yang dilihat meriah dengan pengunjung.

Antara respon yang diberikan oleh peniaga, bagaimana rasa terharunya mereka dengan kehadiran YB di kawasan mereka yang sanggup mengotorkan kaki, berpeluh dan melepaskan senyuman mesra menyapa diri mereka serta bertanya khabar.

Cukup sekadar itu, kerinduan di hati pengunjung dan peniaga telah banyak terubat. Dialog atau soal jawab yang ditanya secara spontan oleh si pemberani kepada YB mereka turut dibalas dengan hemah sudah cukup memadai untuk membunuh persepsi buruk si bertanya terhadap YB mereka.

Dapat dilihat di wajah-wajah pengunjung yang hadir serta peniaga bila melihat YB mereka yang selama ini wajahnya dilihat hanya di poster, gegantung dan kain rentang kini hadir di hadapan mereka memberikan salam serta berdialog dengan ikhlas mahu membantu.

Juga tidak ketinggalan, perkara yang berlaku di Dun Bukit Permai. Tinjauan di Pasar Tani di kawasan Senai telah memberikan suatu impak yang positif apabila Adun di situ, Tosrin Jarvanthi membuka khemah serta kaunter untuk masyarakat di situ meluahkan permasalahan mereka.

Dapat dilihat, kehadiran Tosrin yang berkunjung dari khemah ke khemah menerima respon sebagai seorang kawan terhadap diri beliau. Ini bermaksud tidak ada langsung sempadan yang terbina di antara dirinya dengan peniaga atau pengunjung tempatan di situ.

Dzulkefly Ahmad bersama pengunjung Pasar Tani Gelang Patah.

Ternyata masih ada yang sedar kepentingan perkara ini dan ianya harus dijadikan sebagai suatu tontonan masyarakat. Apa yang perlu, mainan media perlu diperkuatkan lagi untuk memberitahu kepada orang ramai berkenaan dengan kewujudan santunan pemimpin kepada rakyat.

Selain itu juga, pemimpin harus membuang ego dengan memperuntukkan masa bersama rakyat dalam mendengar permasalahan yang berlaku terhadap diri mereka. Sekiranya kita ada peminat, kita perlu tahu kita juga ada pembenci.

Amanah yang terpangku di atas bahu kita adalah suatu perkara yang berat dan bukan suatu perkara yang mudah. Sekiranya individu tersebut tidak mampu menerima teguran, hentikanlah cita-cita untuk menjadi pemimpin bagi rakyat.

Terdapat juga pemimpin di Johor ini yang menyatakan jawatannya itu bukanlah pintaan darinya malahan ia adalah sebagai suatu pemberian orang kepadanya. Itu bukan alasan untuk kita tidak menjalankan khidmat sebagai seorang pemimpin di negeri ini.

Apa yang berlaku jadikan sebagai suatu pengajaran dan yang baik itu jadikan ikutan. Rakyat bukan penghukum yang zalim cuma kerinduan rakyat kepada kata-kata mesra seorang pemimpin itu harus dibalas serta dijelmakan oleh pemimpin itu sendiri.

Baik kerajaan mahu pun pembangkang, jika rakyat bawahan yang memilih mereka, maka adakanlah masa untuk menjenguk wajah-wajah mereka. Kelak risau, kerinduan itu akan dibalas dengan benci dendam yang kesumat dari rakyat kepada pemimpin.