Rakyat menilai YB mana bernas berhujah atau main wayang

Oleh ARIF ATAN

Siaran langsung sidang Dewan Rakyat amat menarik untuk ditonton khalayak massa. Jika tidak silap, ini kali pertama saya menonton sidang dewan secara penuh.

Majoriti khalayak yang berada di rumah boleh meneliti, memerhati dan “jegei” mata melihat keletah, perangai dan tingkah laku Ahli Parlimen yang mereka undi itu.

Sejauh manakah wakil rakyat mereka membuat perbentangan dengan fakta-fakta bernas dan penerangan yang jelas dan terang, berserta hujah-hujah yang mantap.

Bagaimana mereka membahas dalam mengemukakan hujah, mengkritik dan menolak segala tohmahan.

Atau mereka boleh menonton wakil rakyat yang bersandiwara, main wayang bertindak bagaikan badut, suka mengganggu hujah, perbentangan dan penerangan wakil rakyat lain atau sengaja bertindak membantutkan penerangan wakil rakyat tersebut mengenai suatu isu supaya tidak fokus.

Tidak ada apa yang hendak berselindung di kaca televisyen, segala kata-kata kasar atau kesat, tuduh menuduh, luahan kemarahan dalam kalangan wakil rakyat dapat ditontoni.

Khalayak juga boleh menonton wakil rakyat manakah yang pandai berhujah berdebat dan mengemukakan idea bernas daripada mereka yang bermain-main di Parlimen.

Rakyat juga boleh perhatikan manakah wakil rakyat yang dapat membalas dengan spontan jika disergah dengan jawapan-jawapan sensitif, pandai menepis atau menolak daripada menjawab atau juga memberikan jawapan tidak berkaitan soalan yang ditanya.

Amatlah berharap sidang Dewan Undangan Negeri juga boleh ditayangkan secara lintas langsung di kaca televisyen juga.

Walaupun Parlimen dan DUN bukan seratus peratus menguji ketrampilan wakil rakyat tetapi setidak-tidaknya rakyat boleh mengukur kredibiliti wakil rakyat mereka, kerja-kerja mereka, apa isu yang mereka bawa, bagaimana mereka berhujah dan sejauh mereka memainkan peranan.

Dalam isu-isu hangat dan keprihatinan rakyat ia dapat juga menunjukkan sejauh manakah wakil rakyat kerajaan membuat kerja mereka dan kepentingan siapa yang diutamakan, survival politik atau rakyat umpamanya.

Bukankah wakil rakyat ini adalah hamba rakyat, YB sebagai Yang Berkhidmat kepada rakyat bukan Yang Berhormat. Teringat pula filem ‘Aku Yang Berhormat’ lakaonan Hamid Gurkha, R. Jaafar, Dharma Harun, Norlia Ghani, Jamali Sadat, M. Rajoli dan A. Galak yang ditayangkan pada 1983.

Filem yang diarahkan oleh Raja Ismail ini mengisahkan tentang Hamid dan Jaafar yang bekerja sebagai petani dan anggota RELA. Mereka bersepakat dan berusaha untuk menjatuhkan seorang wakil rakyat bernama Jamali yang pecah amanah, salah guna kuasa dan sombong.

Jaafar telah mencalon dan menaikkan Hamid sebagai wakil rakyat baharu. Dengan mendapat sokongan daripada penduduk kampung, mereka akhirnya berjaya menjatuhkan Jamali dan menggantikan Hamid sebagai wakil rakyat yang baharu.

Selain memaparkan fenomena politik tempatan, filem ini sedikit sebanyak memberi sindiran dan nasihat kepada golongan Yang Berhormat (YB). Sutradara menyindir secara terus bahawa YB yang sombong, tidak amanah dan salah guna kuasa tidak disokong rakyat. Walaupun ia disajikan secara berjenaka, namun sindiran itu ternyata sinis dan pedas.

Sidang Parlimen kali ini membuka kesempatan luas bagi rakyat untuk mulai mempertimbang dan membuat keputusan dalam membangun kehidupan demokrasi berasaskan prestasi wakil rakyat mereka.

Mereka juga harus menjadi polis atau mata-mata kepada segala kerja-kerja, sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan wakil rakyat di kawasan Parlimen dan Adun.

Semasa penularan Covid-19, adakah wakil rakyat atau Ahli Parlimen turun ke kawasan mereka dengan penuh keprihatinan membantu penduduk di kawasan Parlimen terjejas.
Atau mereka dengan alasan banyak kerja di Kuala Lumpur hanya menghantar orang kanan atau wakil mereka ke kawasan Parlimen.

Dengan ini rakyat juga boleh menilai sejauh manakah keberkesanan wakil rakyat yang mereka pilih semasa pilihan raya nanti. Jangan hanya seperti kelaziman apabila dekat pilihan raya, baru turun ke padang memberikan bantuan kewangan atau meluluskan projek-projek pembangunan yang mereka atau Menteri Kerajaan Pusat rasmikan.

Dalam zaman media sosial sekarang, setiap tahun atau apabila tibanya pilihan raya, wakil-wakil rakyat perlu menunjukkan kad laporan prestasi mereka kepada rakyat. Apakah yang mereka capai supaya dapat dinilai rakyat untuk diundi semula atau memilih wakil rakyat yang baharu?

Rakyat harus mendesak, memeriksa dan meneliti apa yang dilakukan mereka selama menjadi wakil rakyat.

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).