Malaysia Dateline

Rakyat nak tahu apa Rina buat, bukan ulas kasut tumit tinggi

Rakyat tidak mahu tahu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun
pakai kasut apa atau tidak berkasut sekalipun, rakyat mahu tahu apa yang menteri terbabit serta kabinet mereka buat ketika musibah sedang melanda negara ketika ini.

Ketua AWAN Nasional Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, rakyat yang sedang berhadapan musibah mahu melihat ikhtiar Menteri Wanita dan agensi dibawahnya mempermudahkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Apa pula Rina nak ulas isu kasut tumit tinggi ni? Rakyat tak kisah pun Rina Harun pakai kasut apa atau tak berkasut, rakyat nak tahu apa Rina dan anggota kabinet korang buat.

“Lepas lancar bulan kesiapsiagaan bencana pada awal Oktober hari tu, apa yang siap dan siaga untuk membantu rakyat bila bencana datang?” soal Athirah.

Beliau turut mempersoalkan apa kabinet Keluarga Malaysia buat selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) memberi amaran berlaku perubahan cuaca dan lekukan tropika menghampiri Pahang pada 16 Disember lepas yang menjadi punca banjir besar.

“Siap siaga peralatan bantuan cemas satu hal, siaga bantuan kebajikan rakyat semasa masih bencana dan pasca banjir besar sekarang ini hal seterusnya.

“Bagaimana agensi-agensi bertanggungjawab di bawah Rina digerakkan?

“Bagaimana ikhtiar Rina untuk mempermudahkan bantuan diberikan kepada yg terjejas tanpa perlu disulitkan dengan segala mcm syarat dan prosedur?

“Sibuk Rina ulas kasut tinggi tu pula?” soalnya yang mengingatkan Rina supaya tidak melayan isu remeh temeh dan belajar ikut perkara yang perlu diberi keutamaan.

Beberapa hari lalu tular gambar Rina memakai kasut tumit tinggi ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mengundang kritikan dalam kalangan netizen.

Semalam, Rina menjawab kritikan awam bahawa beliau tergesa-gesa melawat mangsa banjir dan tidak sempat menukar kasut selepas Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau meminta rakyat tidak salah faham berhubung isu dirinya yang berkasut tinggi ketika melawat mangsa banjir di PPS pada Sabtu lalu.