Rakyat negeri perlu tahu sejarah Hari Sarawak

Rakyat negeri perlu tahu sejarah Hari Sarawak

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahukan rakyat Sarawak mengetahui sejarah Hari Sarawak atau Hari Kemerdekaan Sarawak yang disambut setiap tahun pada 22 Julai.

Abang Johari berkata mereka yang dilahirkan sebelum 1963, adalah mereka yang menyaksikan pelbagai fasa pembangunan yang berlaku dalam negeri ini merangkumi bidang ekonomi, sosial, fizikal dan politik.

“22 Julai (1963) adalah hari bersejarah yang mesti diketahui oleh semua rakyat Sarawak khususnya tentang peristiwa yang membawa kepada hari Sarawak diberi kuasa untuk memerintah sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyeru rakyat Sarawak agar kekal bersatu demi menentukan Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030 dan ekonomi Sarawak mesti diangkat selaras dengan ekonomi global termasuk ekonomi digital.

Sejumlah tujuh acara utama akan diadakan bermula hari ini hingga Isnin (22 Julai) dengan kemuncak acara utama Rali Hari Sarawak pada sebelah paginya di Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Semetara itu, menteri bertanggungjawab bagi perayaan itu, Datuk Seri Dr Stephen Rundi dalam perutusan serupa menggesa rakyat Sarawak, khususnya mereka di Bintulu dan kawasan sekitar menyertai acara itu sebagai tanda menghargai pengorbanan dan perjuangan pemimpin-pemimpin lepas yang telah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Sarawak.

Dr Rundi yang juga Menteri Utiliti Negeri berkata tujuh aktiviti ‘menarik dan mengujakan’ yang akan diadakan ialah E-Sukan Hari Sarawak 2019; Larian Hari Sarawak (Larian 21km Bintulu); Majlis Kesyukuran; Konsert Kamek Sayang Sarawak; Rali Hari Sarawak; Pameran Hari Sarawak dan Cintai Sarawak Menerusi Sejarah.

— BERNAMA