Malaysia Dateline

Rakyat pasti rindu kemampuan PH tadbir negara, ekonomi berkembang baik

Isu pekerjaan merupakan isu kritikal yang gagal diuruskan dengan baik oleh kerajaan PN. Ekoran kegagalan menguruskan ekonomi negara dengan baik ia telah menyebabkan angka pengangguran semakin meningkat sebanyak 782,500 orang pada kadar 4.9 peratus pada Januari 2021.

Malah kemerosotan pelaburan asing langsung (FDI) pada tahun 2020 sebanyak 68 peratus ke USD2. 5 bilion telah menjejaskan ekonomi negara dan seterusnya menambahkan lagi jumlah pengangguran dikalangan rakyat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil, keadaan ini bertambah parah apabila syarikat-syarkat besar menarik pelaburan yang besar ke Indonesia terutamanya dalam industri automotif seperti Hyundai sejumlah RM4.02 bilion, Toyota sebanyak RM8.04 bilion, syarikat bateri CATL sebanyak RM20.09 bilion dan syarikat LG Chem sebanyak RM39. 37 bilion.

Tegas beliau lagi, kemerosotan ekonomi turut menjejaskan bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang hampir 98 peratus perniagaan dalam negara apakala hampir 32,000 perniagaan telah ditutup sejak tahun lepas.

“Situasi ini sudah pasti memberi impak kepada peluang pekerjaan rakyat Malaysia dan menambahkan lagi kadar pengangguran sedangkan kes pembuangan pekerja meningkat saban hari.

“Selain itu jumlah gaji yang diterima rakyat negara ini semakin mengecil walaupun kos sara hidup semakin meningkat dan menyaksikan meningkatnya inflasi pada kadar 5 peratus pada tahun 2021,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, bagi tahun 2020 gaji permulaan majoriti pemegang ijazah sarjana muda di Malaysia telah jatuh 40 hingga 50 peratus, malahan ramai anak muda telah menerima bawah paras gaji minima antara RM1100 dan RM1200 d bandar utama yang ditetapkan oleh kerajaan PH dahulu.

Tambah beliau lagi, kebanyakan mereka hanya menerima gaji sekitar RM1001 hingga RM 1500 pada tahun 2020 berbanding RM2001 hingga RM2500 pada tahun 2019.

Faiz juga berkata, walaupun kerajaan PN mengumumkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi bernilai RM260 bilion, namun ia tidak dibentuk dengan tepat kerana gagal mengelakkan pengangguran melonjak tinggi.

“Begitu juga Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM35 bilion juga gagal dan kerajaan PN dilihat tiada pelan tersusun sebagai ‘exit strategy’ dalam menangani isu kritikal ini.

” Sebenarnya subsidi gaji sebanyak RM600 yang diperkenalkan menerusi pakej rangsangan ekonomi hanyalah sekitar 17 peratus jumlah gaji yang dibayar oleh sektor swasta negara ini. Sudah pasti ianya tidak mencukupi dan tidak mampu mencegah pembuangan pekerja.

“Jika dibandingkan dengan negara lain United Kingdom memberi subsidi sebanyak 80 peratus, Singapura, Perancis dan Kanada pula memberi subsidi gaji sehingga 75 peratus daripada gaji pekerja.

“Tidak dapat dinafikan rakyat Malaysia sudah pasti merindu kemampuan PH menerajui negara dimana dalam tempoh 22 bulan pemerintahan, bukan sahaja ekonomi negara berkembang baik sekitar 4.3 peratus dan hasil negara juga meningkat 13.5 peratus kepada RM264.4 bilion dan sentimen pekerjaan semakin baik, ” ujar beliau yang juga merupakan Adun Permatang Pasir.

Sehubungan itu Faiz menyarankan kerajaan PN supaya segera mengambil tindakan tuntas dan konkrit memulihkan ekonomi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta rakyat harus bangkit mendesak kerajaan PH dikembalikan untuk mentadbir negara.