Malaysia Dateline

Rakyat pelbagai kaum nyatakan sokongan untuk Palestin tengahari ini

Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama bakal berhimpun di hadapan kedutaan Amerika Syarikat petang ini bagi membantah kedegilan dan keangkuhan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Himpunan anjuran Pakatan Harapan itu membuktikan isu Palestin bukan sekadar menyentuh kepentingan umat Islam malah berkaitan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

“Keputusan sepihak oleh Presiden Trump itu jelas tidak membantu usaha damai konflik panjang di rantau Asia Barat khususnya di Palestin, sebaliknya lebih merumitkan lagi keadaan sekaligus menyalakan api kemarahan dan reaksi bantahan masyarakat dunia.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OIC dan komuniti antarabangsa tidak pernah mengiktiraf pendudukan Israel di Jerusalem Timur selepas perang 1967 malah menggesa mereka berundur ke sempadan asal mereka pra-1967.

“Ia dikukuhkan lagi dengan Majlis Keselamatan PBB yang bersidang pada 23 Disember 2016 yang telah meluluskan Resolusi 2334 yang mengatakan pendudukan Israel ke atas Jerusalem Timur tidak sah,” kenyataan bersama pemimpin Pakatan Harapan dipetik.

Pakatan Harapan telah menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat minggu lalu, namun himpunan hari ini diadakan bagi bagi menzahirkan rasa kecewa terhadap sikap angkuh presiden Amerika Syarikat dan tanda solidariti bersama rakyat Palestin yang terus dizalimi.

Sehubungan itu, Pakatan Harapan mengharapkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dapat bersama menzahirkan bantahan.

Antara pemimpin Pakatan Harapan yang dijangka hadir ialah Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.