Malaysia Dateline

Rakyat penyumbang utama perubahan negara, kata Mahfuz

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar apa yang dicapai kerajaan dalam membawa perubahan merupakan semangat rakyat dan ahli-ahli Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa bersama menggerakkan satu kesedaran tinggi dalam melakukan perubahan.

Beliau berkata jika rakyat tidak berkeinginan untuk melakukan perubahan, maka sudah tentu negara akan terjerumus dalam satu gaung yang akan menyusahkan kehidupan rakyat.

 

“Ditakdirkan jika mereka tidak lakukan perubahan pada PRU yang lalu, maka sudah tentu negara kita akan terjerumus dalam satu gaung yang akan memusnahkan kehidupan rakyat.

“Saya nak ucapkan terima kasih sekali lagi kepada rakyat atas kepercayaan dan amanat yang diberi. Rakyat sekali lagi berkewajipan untuk terus dengan sikap pada setahun yang lalu untuk membuat penilaian dan pemerhatian kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

“Rakyat tidak boleh menjadi yes man kerana untuk melahirkan pemimpin yang jujur, ianya mesti bermula dengan rakyat yang jujur,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Dateline selepas majlis Perutusan Perdana Menteri Setahun Malaysia Baharu yang diadakan sempena menyambut kejayaan satu tahun pemerintahan kerajaan PH, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam pada itu, beliau turut berkata bahawa rakyat yang beramanah dan jujur dalam membuat perubahan secara tidak langsung akan melahirkan pemimpin yang beramanah dalam menjaga kestabilan politik dan perjalanan pemerintahan yang telus dalam negara.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), berkata, dalam tempoh 8 bulan pentadbiran iaitu Julai 2018 sehingga Februari 2018, kementerian itu telah berjaya menyediakan 270 ribu peluang pekerjaan yang dibuka kepada orang ramai.

Katanya, ini merupakan satu inisiatif untuk mewujudkan perjalanan unjuran dalam mencapai 1 juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun pentadbiran.

“Mengikut sasaran perancangan dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK-11), peluang pekerjaan mesti dibuka sekurang-kurangnya 240 ribu peluang setahun tapi hari ini kita telah buka sehingga 270 ribu untuk masyarakat Malaysia.

“Cabaran kami juga adalah dalam memastikan pekerjaan yang ditawarkan mempunyai nilai pengajian yang baik dan sesuai dengan tahap pendidikan yang telah dicapai oleh individu itu sendiri.

“Sebab kalau tidak, peluang pekerjaan yang berasaskan kepada buruh semata-mata dn tidak berasaskan kepada pendidikan yang dicapai, merek tidak akan memperolehi gaji yang tidak lebih dari gaji minimum iaitu RM1,100,”ujarnya.

Tambahnya lagi, dalam meningkatkan perkembangan ekonomi melalui pentadbiran yang bersifat teknologi terkini, kerajaan akan meningkatkan peluang pekerjaan yang lebih berkemahiran tinggi kepada nilai ekonomi disamping melahirkan pekerja mahir dan berilmu pengetahuan yang akhirnya boleh menjana pendapatan kepada negara.