Rakyat perlu bersama isi kemenangan, kata Zuraida

Rakyat perlu bersama isi kemenangan, kata Zuraida

Anak Malaysia perlu bangkit dan sama-sama membantu kerajaan yang baru dalam memastikan segala misi, pelan dan agenda yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan efektif.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Zuraida Kamaruddin berkata, ketika teruja menyambut kemenangan, adalah penting untuk rakyat saling mengingatkan bahawa tanggung jawab yang besar sedang menanti.

“PH telah memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) apabila telah memperolehi 121 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang telah dipertandingkan.

“Kemenangan ini adalah satu kejayaan untuk rakyat Malaysia yang mengimpikan negara ditadbir dengan amanah dan telus. Perjuangan reformasi yang telah mencecah lebih 20 tahun telah sampai ke kemuncaknya, yang mana kini kita menanti secara rasmi, Malaysia ditadbir dengan lebih baik,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Zuraida yang juga ahli parlimen Pandan mengingatkan bahawa aspirasi rakyat perlu diambil peduli dan kerajaan baru perlu memastikan bahawa setiap tindakan yang dilaksanakan berteraskan kehendak rakyat.

“Kita perlu mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku sebelum ini, yang mana kerajaan BN telah memperdagangkan mandat yang telah diberi oleh rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan komitmen PH untuk memperjuang dan memartabatkan wanita di negara ini.

Menurut beliau, wanita di negara ini masih tidak dibela sewajarnya lantas menyebabkan kerencatan dalam pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Oleh itu tambahnya, PH akan berusaha keras bagi memastikan manifesto dan Agenda Wanita Pakatan Harapan (AWPH) akan dilaksana secara bersepadu.

“Kita bersyukur dalam menyambut kemenangan ini, namun tugas yang lebih getir iaitu untuk membawa Malaysia ke mercu yang lebih tinggi perlu digalas dengan cermat oleh Pakatan Harapan dengan sokongan rakyat Malaysia.

“Bersama kita membina Malaysia yang lebih baik, demi masa hadapan generasi akan datang. Kita akan pastikan tiada rakyat Malaysia akan terpinggir dalam pembangunan yang kita laksanakan,” katanya.

Sambil menyifatkan perjalanan yang harus ditempuhi masih jauh, beliau mengharapkan rakyat dapat bersatu padu agar martabat dan maruah Malaysia dapat dikembalikan semula.

CATEGORIES