Malaysia Dateline

Wan Azizah Wan Ismail

Rakyat perlu bersatu bina semula negara, kata Wan Azizah

Kerajaan memerlukan sokongan rakyat untuk membina semula negara demi masa depan yang lebih terjamin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu bersatu padu dan bersama-sama kerajaan untuk melakar masa depan negara.

“Menang atau kalah itu adalah biasa dalam pertandingan namun, yang penting adalah kita bawa negara kita ke tahap lebih baik lagi.

“Yang menang mestilah rakyat. Yang menang adalah kita bersama untuk masa depan yang kita lakar bersama,” katanya pada Majlis Iftar Perdana di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam malam tadi lapor Bernama.

Turut hadir suami beliau yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pandan Indah Izham Hashim.

Dr Wan Azizah yang juga Anggota Parlimen Pandan berkata kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 diperoleh kerana tujuan, amalan dan niat pakatan itu yang ikhlas untuk memimpin demi masa depan negara.