Rakyat perlu bertindak untuk selesaikan isu 1MDB

Rakyat perlu bertindak untuk selesaikan isu 1MDB

Koordinator AMK Kelantan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk berfikir dengan rasional bahawa sudah tiba masanya masalah berkaitan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) diatasi dengan segera.

Perkara ini hanya boleh berlaku dengan perubahan secara total pada pentadbiran serta pemerintahan negara.

Ketua Koordinator AMK Cabang Kota Bharu, Haissazc Shuqkin Hisham berkata, Koordinator AMK Kelantan berasa dukacita berikutan beberapa siri rampasan dan perbicaraan yang berlaku di luar negara membabitkan skandal 1MDB yang jelas mencalarkan imej negara di peringkat dunia.

“Rampasan kapal layar mewah Equanimity oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali yang dijejaki oleh DOJ dan tuntutan RM400 juta daripada Kerajaan Switzerland serta beberapa siri perbicaraan yang lain seperti di Singapura, sudah terang-terangan skandal 1MDB ini adalah skandal yang terburuk dalam sejarah yang melibatkan urus tadbir negara.

“Namun, tiada tindakan ataupun “political will” daripada mana-mana pihak sama ada Jabatan Peguam Negara atau Datuk Seri Najib Razak sendiri terhadap isu ini,” kata beliau dalam satu kenyataan kelmarin.

Haissazc Shuqkin Hisham

Kata beliau, kebisuan tanpa penjelasan inilah yang menjejaskan kedudukan negara dalam Corruption Perception Index (CPI) di ranking yang terendah sejak 1994 iaitu 62 pada tahun 2017 berbanding di kedudukan 55 daripada 180 negara pada tahun 2016.

Dan jelas skandal 1MDB yang tidak berkesudahan selain daripada hukuman terhadap YB Rafizi Ramli yang membongkarkan skandal ini merupakan faktor yang membawa kepada terjejasnya kedudukan Malaysia dalam indeks ini, katanya.

“Sudah lama kes ini berlarutan dan tiap-tiap tahun pasti ada penemuan dan pendedahan baru akan korupsi dan salah urus tadbir yang berkaitan dengan 1MDB, satu syarikat yang sepatutnya berfungsi untuk menjana pendapatan negara melalui pelaburan dan projek-projek yang memberi pulangan kepada ekonomi Malaysia dan rakyatnya.

“Namun, hanyalah penafian semata-mata tanpa penjelasan yang terperinci daripada ahli politik Umno-Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, Datuk Seri Salleh Keruak secara terangan menafikan kapal Equanimity bukan milik Jho Low.

“Beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh beliau: bagaimana dengan begitu pasti Datuk menyatakan kapal Equanimity ini bukan milik Jho Low? Adakah Datuk lebih mengenali pemilik sebenar kapal mewah ini?

“Jika benar bukan milik Jho Low, apakah respons Datuk terhadap kekesalan Jho Low terhadap tindakan DOJ yang melakukan rampasan terhadap aset-aset beliau sejurus rampasan kapal tersebut dilakukan?” soal Haissazc Shuqkin.

Sambungnya, persoalan-persoalan sebeginilah yang perlu dijawab dengan segera oleh pihak sana dengan terperinci tanpa selindung kerana ini melibatkan kepentingan dan maruah negara dalam isu rasuah dan urus tadbir.

“Isu tuntutan CHF95 juta (RM 400 juta) oleh kerajaan Switzerland juga tidak mendapat tempat dan dinafikan oleh Umno-BN.

“Malah isu ini juga akan dibahaskan dan diundi di dewan rendah perhimpunan Switzerland pada 15 Mac nanti.

“Begitulah betapa teruknya keadaan skandal 1MDB sehingga menjadi usul perbahasan di Switzerland tetapi di Malaysia, dihalang untuk menjentik isu ini daripada dibahas menunjukkan bahawa memang benar ada salah laku yang cuba dinafikan secara keras oleh pihak sana.

“Jika benar isu tuntutan RM 400 juta ini tidak ada kaitan langsung dengan 1MDB, sekurang-kurangnya Peguam Negara atau Umno-BN dapatkan kesahihan akan isu tuntutan ini bertujuan untuk membersihkan nama Malaysia yang kini menjadi bualan hangat di negara luar disebabkan oleh skandal ini,” kata beliau.

Koordinator AMK Kelantan hari ini ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berfikir dengan rasional bahawa sudah tiba masanya perkara ini perlu diatasi dengan segera dan perkara ini hanyalah boleh berlaku dengan perubahan secara total.

Kesungguhan HARAPAN jelas dizahirkan di mana dalam tempoh 100 hari, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB dengan lebih jelas dan lebih telus bagi memastikan Malaysia tidak lagi terpalit dengan label “rasuah” dan “kleptokrasi” oleh negara luar.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote