Malaysia Dateline

Rakyat perlu matang menilai perkara menjurus kepada perpecahan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata masyarakat negara ini perlu matang dalam menilai khususnya terhadap perkara-perkara yang menjurus kepada perpecahan.

Beliau berkata tiada tempat dalam institusi masyarakat bagi mereka yang sengaja menyemai benih-benih perpecahan

“Sikap adu domba dalam menyemarakkan api perkauman haruslah ditolak sama sekali,” katanya berucap pada sambutan bulan kemerdekaan peringkat Parlimen Pandan di Padang Permainan Flat Rumah Pangsa Taman Lembah Maju, di Ampang malam tadi.

Beliau berkata perpaduan dan toleransi sesama masyarakat adalah kunci sebenar keutuhan kemerdekaan negara dan sikap saling bekerjasama serta bertolak ansur adalah tunjang kemanan sejagat.

“Memelihara sensitiviti dan menolak sikap perkauman akan memperkukuhkan perpaduan…sikap saling hormat menghormati khususnya dalam mengamalkan kebebasan beragama dan budaya, haruslah disemai dalam setiap warganegara,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata kemajuan negara bukan sekadar pada nama, tetapi maju terhadap sikap dan pemikiran setiap warganegara adalah penanda aras untuk mencapai tahap negara maju.

— BERNAMA