Malaysia Dateline

Rakyat perlu pakej ekonomi berkesan bukan pakej kitar semula idea lama

Negara memerlukan satu pakej rangsangan ekonomi yang berkesan dan menyeluruh, bukannya satu pakej kitar semula idea lama.

Menurut Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) adalah polisi kitar semula di mana bantuan yang dihulurkan mestilah “means-tested”, bermaksud bersesuaian dengan tanggungan.

Katanya, Pemerkasa Plus bukan sahaja tidak mencukupi untuk menampung kos PKP 3.0, malah telah mengenepikan beberapa segmen yang terkesan secara langsung dan ini menyebabkan hidup rakyat semakin tertekan dan terhimpit serta boleh melumpuhkan ekonomi negara.

“Skala pendapatan semata-mata bukanlah metrik yang sesuai, tetapi mesti digabungkan dengan saiz tanggungan keluarga dan kawasan atau negeri kediaman.

“Kerajaan tidak boleh menganggap pemberian bantuan tunai ini sebagai satu beban, tetapi ia sebenarnya sama seperti memasukkan duit ke dalam poket rakyat yang seterusnya akan memacu ekonomi menerusi perbelanjaan rakyat,” kata beliau.

Katanya, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) hanya dihadkan kepada isirumah berpendapatan RM5,000 ke bawah namun data Jabatan Perangkaan menunjukkan kumpulan B40 di kawasan bandar adalah berpendapatan bawah RM5,440.

“Kerajaan PN mengenepikan golongan berpendapatan RM5,000-RM5439 di bandar daripada menerima BPR.

“Banyak isirumah B40 di negeri-negeri seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor tidak menerima manfaat BPR. Data Jabatan Perangkaan menunjukkan paras pendapatan B40 Johor adalah RM5,400 ke bawah, Pulau Pinang bawah RM5,310 dan Selangor bawah RM6,960.

“Bagaimana jika keluarga berkenaan mempunyai ramai anak yang masih bersekolah dan perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk gajet elektronik bagi proses PDPR?” soal beliau.

Beliau menggesa kerajaan menyediakan satu lagi pakej rangsangan baharu amat penting, tetapi kali ini harus mengambil kira kesan harga barangan keperluan asas di pasaran.

Dengan jangkaan kadar inflasi meningkat 5% pada suku kedua tahun ini, beliau berkata kerajaan perlu mengambil langkah konstruktif mengawal harga barangan di pasaran, terutamanya untuk barangan keperluan asas yang semakin mencanak.

Bagaimanapun, katanya amat menjengkelkan dan mengguris perasaan rakyat terbanyak apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato’ Mohd Khairuddin Aman Razali berani mengatakan kenaikan harga minyak masak adalah munasabah.

“Beliau langsung tidak mengendahkan kesan harga barang kepada isirumah dan kos perniagaan yang akhirnya akan menekan rakyat selaku pembeli.

“Kegagalan kerajaan PN mengguna pakai kaedah yang sesuai untuk menyokong ekonomi akan menyebabkan banyak perniagaan gulung tikar dan kesenjangan pendapatan merosot teruk, terutama golongan miskin bandar.

“Akibatnya, ramai rakyat miskin akan menjadi lebih miskin dan menyebabkan masalah sosio-ekonomi dan krisis kehidupan menjadi semakin parah,” katanya.