Rakyat perlu tahu dua sebab Malaysia perlu sekat atlet Israel, kata MPT Bersatu

Rakyat perlu tahu dua sebab Malaysia perlu sekat atlet Israel, kata MPT Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi(MPT) Bersatu berpendapat mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan kerajaan Malaysia menghalang atlet Israel menyertai acara sukan di negara ini perlu melihat kepada signifikannya  tindakan sama pernah dilakukan Israel terhadap dua rakyat Palestin.

Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, rakyat Malaysia yang cintakan keadilan tidak perlu fikir jauh untuk memahami rasional kenapa Malaysia di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan tegas untuk menyekat kemasukan atlit dari negara Israel itu.

Dr Muhammad Faiz Naaman

Dr Muhammad Faiz Naaman

Katanya ada dua peristiwa yang wajar dingati oleh rakyat negara ini mengenai kekejaman dilakukan zionis terhadap rakyat Palestin.

“Pada Jun 2012, Rejim Zionis telah menghalang seorang atlit paralimpik Palestin bernama Khamis Zakout dari memasuki bandar Baitulmaqdis dan Ramallah untuk menyertai sambutan pra Olimpik. Beliau disekat atas alasan keselamatan walaupun atlit tersebut lumpuh kedua-dua belah kakinya kerana kemalangan.

” Pada April 2018, seorang pensyarah di satu kolej swasta negara ini yang juga merupakan seorang jurutera pakar dari Palestin bernama Dr. Fadi Al-Batsh telah mati ditembak dari jarak dekat oleh dua orang lelaki warga asing yang bermotosikal. Mangsa, yang juga seorang Imam, sedang berjalan kaki untuk ke masjid bagi menunaikan solat Subuh ketika dirinya dibunuh. Kejadian kejam itu disyaki oleh pihak polis bermotifkan politik dan dipercayai dilakukan oleh ejen perisik luar (Mossad).

” Inilah dua sebab yang wajar kita ingati sebelum ada di antara kita mahu jadi hero melayan wakil dari negara Rejim Zionis kononnya atas semangat kesukanan:

“Maka dengan hanya berbekalkan dua faktor ini sahaja sudah cukup untuk negara berdaulat seperti Malaysia ini membuat keputusan kontroversi demi keadilan dan kemanusiaan nasib warga Palestin yang ditindas oleh Rejim Zionis,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau dipercayai mengulas mengenai Pemuda MCA Wilayah Persekutuan Tan Teik Peng beranggapan keputusan kerajaan melarang kemasukan atlet Israel ke Malaysia sebagai ‘menyedihkan’ dan mundur.

Tan bertegas isu larangan ke atas atlet Israel ini telah mencemarkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata demikian susulan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

Ini susulan Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri(KDN) gagal memberi jaminan diperlukan perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Sebelum itu kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini serta menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung 29 Julai hingga 4 Ogos depan sebagai tanda protes terhadap rejim Zionis.

Penegasan kerajaan Malaysia itu menyebabkan Israel tidak senang dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menggelar Perdana Menteri sebagai ‘anti-Semitisme melampau’.