Malaysia Dateline

Rakyat perlu tolak apa jua usaha pecahkan perpaduan, kata Guan Eng

Seluruh rakyat dalam negara ini diseru supaya menolak apa jua usaha untuk pecahkan perpaduan sedia ada.

Malah tanpa perpaduan, kejayaan sukar dicapai termasuklah kemerdekaan yang sedang dikecapi ketika ini.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika merasmikan Jalur Gemilang Gergasi di SRJK(C) Chung Hwa Pusat, Butterworth pada Ahad.

“Semua sekolah berusaha untuk menyambut hari kemerdekaan negara dengan pelbagai cara bagi mengimbas kembali kejayaan kemerdekaan negara dicapai.

“Kemerdekaan negara berjaya dicapai atas usaha dan titik peluh semua rakyat berasaskan perpaduan.

“Oleh kerana itu, perpaduan merupakan asas yang amat berharga dan tanpa perpaduan tidak ada kejayaan yang akan berjaya dicapai, ” tegasnya.

Menurut beliau lagi, sekiranya wujud bersatu padu dan perpaduan erat dikalangan rakyat, sudah pasti apa jua kejayaan boleh direalisasikan.

Sehubungan itu ujarnya, seandainya perpaduan tidak wujud sudah pasti kejayaan sukar untuk menjadi realiti.

“Rakyat harus sedar dan hayati erti kemerdekaan dan menolak mana-mana pihak yang cuba memecahkan perpaduan yang ada.

“Tidak kiralah samada antara rakyat, kaum maupun agama, perpaduan mesti dipelihara dengan sebaik mungkin.

“Apa jua usaha samada dikalangan kaum atau pun agama bagi memecahkan perpaduan, maka ia harus ditolak, ” tambahnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan turut berkata, hanya dengan cara ini sahaja maka perpaduan dikalangan rakyat dapat dikekalkan.

Dalam pada itu, Jalur Gemilang Gergasi yang terdiri daripada 2200 botol plastik telah berjaya disiapkan sejak Julai lalu oleh PIBG, para guru, pelajar dan juga bekas murid sekolah tersebut.