Rakyat Pulau Pinang bakal nikmati rumah mampu milik di Batu Maung

Rakyat Pulau Pinang bakal nikmati rumah mampu milik di Batu Maung

Rakyat Pulau Pinang bakal menikmati rumah bersepadu mampu milik yang pertama di negeri ini, di Batu Maung, yang projeknya bakal dimulakan seawal tahun hadapan.

Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraidah Kamaruddin berkata tapak projek perumahan mampu milik itu kini dalam proses pemilihan pemaju perumahan melalui tender terbuka.

“Tanah ini sebelumnya dimiliki oleh Kementerian Pertanian, tetapi apabila segala urusan penukaran tanah termasuk hal-hal pengurusan yang lain projek ini akan dilaksanakan tahun hadapan..sekarang ini kita juga tunggu pemaju-pemaju untuk masuk tender.

“Ini bermakna pemaju yang tampil dengan konsep rekabentuk yang baik dan model perniagaan yang bagus akan menjadi penilaian terhadap pemilihan pemaju,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak projek perumahan di Batu Maung, di sini, semalam.

Katanya, pembinaan rumah mampu milik di keluasan 10 ekar (4.05 hektar) daripada jumlah keluasan 35 ekar (14.16 hektar) akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya kolam renang, dewan, lot meletak kenderaan yang sesuai dijadikan sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi di situ.

“Rumah berkenaan mengikut Dasar Rumah Mampu Milik berharga RM150,000, RM200,000 dan seterusnya dan direkabentuk menarik di atas tanah 10 ekar agar mempunyai kawasan luas untuk kemudahan seperti kolam renang, padang bola, taman, dewan dan seumpama di mana semua orang boleh berkongsi kemudahan itu.

“Bagi tanah seluas 10 ekar, mereka merancang mendirikan kira-kira 1,666 unit dan kemudian kami mahu disediakan kemudahan yang selesa,” katanya.

Katanya, apabila projek pembinaan rumah mampu milik itu disiapkan kelak, ia boleh diduduki oleh seluruh rakyat negeri ini.

“Tidak kira dari mana asal anda, anda beli rumah itu dengan harga RM150,000 atau RM300,000 atau RM500,000 anda masih boleh berkongsi rumah mampu milik ini,” katanya.

Menurut Zuraidah, terdapat lagi perkara yang perlu diuruskan di pihak Kerajaan Persekutuan dan pihak Kerajaan Negeri berkenaan proses penukaran tanah dan dokumentasi yang akan diuruskan dalam masa terdekat.

— BERNAMA