Rakyat Pulau Pinang diseru buat perubahan untuk bolehkan PH ambil alih Putrajaya

Rakyat Pulau Pinang diseru buat perubahan untuk bolehkan PH ambil alih Putrajaya

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyeru agar rakyat negeri itu melakukan perubahan bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) ke Putrajaya pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka tiba tidak lama lagi.

Beliau berkata, semua rakyat perlu bangkit bersama-sama pimpinan PH untuk menentang Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 nanti.

“Kerajaan BN kata Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST bagus untuk rakyat dan negara, tetapi apa yang terjadi, rakyat susah kerana GST.

“Mereka mana tahu rakyat susah kerana mereka tidak lagi tahu mana yang benar dan mana yang tidak benar.

“Jadi marilah kita lakukan perubahan supaya Pulau Pinang terus maju jaya demi kesejahteraan dan kebaikan semua,” ucapnya pada Program Pemimpin Bersama-sama Rakyat di perkarangan kawasan perumahan Sri Pelangi dekat Jalan Samak semalam menurut laporan Facebook Ketua Menteri.

Turut berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Adun Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo; Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun.

Dalam pada itu, Jagdeep selaku penganjur program berjanji akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat keseluruhannya.

“Adakah Pulau Pinang kini semakin baik? Adakah perubahan Pulau Pinang kini bertambah baik? Sememangnya perubahan Pulau Pinang kini lebih baik dan banyak lagi perubahan yang akan dilakukan oleh pimpinan Kerajaan Negeri PH.

“Cuma yang menjadi keutamaan kini adalah sokongan daripada anda semua. Malah kita (Kerajaan Negeri) hanya bercakap semata-mata berdasarkan fakta yang benar dan tepat.

“Bukan seperti BN yang hanya membuat janii-janji palsu seperti di Air Putih yang mana Perdana Menteri Najib Razak pernah berjanji untuk membina 10,000 unit rumah pada PRU lepas, tapi mana, di manakah unit-unit rumah tersebut,” soalnya yang juga merupakan Exco Perumahan Negeri.

Menurut Jagdeep, sejak Mac 2008 sehingga Mac 2018, sejumlah 25,555 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah disediakan oleh Kerajaan Negeri PH Pulau Pinang berbanding pentadbiran sebelum ini bagi tempoh sama (5,100).

“Ini adalah fakta yang terbukti benar, kita bina lima kali ganda unit rumah berbanding sebelum ini.

“Bukan itu sahaja, kita juga telah membelanjakan hampir RM55 juta bagi tujuan penyelenggaraan skim-skim perumahan di Pulau Pinang.

“Jadi, saya menyeru kepada semua supaya terus menyokong pimpinan yang ada pada hari dan kami (pimpinan negeri) janji akan berkerja lebih keras lagi,” ujarnya penuh semangat.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES