Malaysia Dateline

Rakyat rasa darurat tak perlu, tapi takut nak bersuara, kata Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ramai pihak tidak bersetuju dengan darurat dan berpandangan bahawa ianya tidak perlu dilaksanakan.

Bagaimanapun beliau berkata, rakyat Malaysia takut untuk bersuara menyatakan pendapat mereka dan berpesan untuk tidak mendedahkan kepada sesiapa tentang pandangan mereka.

“Mereka jelaskan tetapi ternampak mereka dalam ketakutan. Mereka rendah suara sambil memandang sekeliling. Dan mereka pun pesan jangan bagi tahu sesiapa berkenaan pendapat mereka.

“Kata mereka, mereka takut kerana kerajaan penuh kuasa dan boleh buat apa sahaja kepada mereka.

“Denda sebanyak RM5 juta dan penjara 10 tahun. Tidak boleh dapat perlindungan undang-undang,” katanya dalam satu catatan terbaru di blognya.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata, biarpun sudah dijelaskan bahawa kerajaan tidak boleh berbuat sedemikian, namun mereka masih bimbang dan merasa tidak selamat.

Malah, mereka juga menolak apabila diminta untuk menandatangani surat rayuan agar darurat dibatalkan.

“Saya cuba jelaskan kerajaan tidak boleh buat begitu. Tetapi mereka tidak berasa senang.

“Disuruh tandatangan surat rayuan supaya darurat ditarik balik, mereka tolak,” katanya lagi.

Sebelum ini, Mahathir menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai diktator yang menggunakan sepenuh kuasa untuk mengisytiharkan darurat agar kedudukannya terus terjamin.

Beliau berkata, kerajaan sendiri sudah mempunyai begitu banyak kuasa untuk menangani wabak Covid-19 dan tidak seharusnya meletakkan negara dalam keadaan darurat.

Beliau juga berpendapat, rakyat Malaysia tidak pernah membuat himpunan tunjuk perasaan di jalan sehingga menyebabkan kerajaan perlu melaksanakan darurat.