Laman Facebook rasmi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menjadi medan rakyat meluahkan isi hati berhubung kebenaran merentas negeri.
Rata-ratanya merayu agar Perdana Menteri segera mempertimbangkan kebenaran merentas sempadan itu memandangkan hampir dua tahun mereka tidak menemui ibu bapa dan keluarga di kampung.
Terdapat juga warganet yang mengaitkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ dalam desakan mereka selain membangkitkan kebenaran kerajaan sebelum ini membuka pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan.
“Pak Long, Keluarga Malaysia berharap untuk rentas negeri secepat mungkin. Bukan nak melancong, hendak jumpa ibubapaku. Syurga di tapak kaki mereka Pak Long,” kata Anitha Devi Ponosamy.
Hal sama dibangkitkan Mohd Hafsham Ahmad yang menegaskan kelonggaran merentas negeri yang diharapkan bukannya untuk bersuka-suka.
“Lagi berapa hari nak dapat rentas negeri ni Datuk Seri? Kami nak jumpa mak ayah kami. Bukan nak melancong.
“Menteri-menteri semua sudah banyak kali rentas negeri, rakyat jelata bila pula?” soal Hafsham.
Ramai juga yang mempersoalkan ‘janji’ Perdana Menteri bahawa kebenaran merentas negeri hanya diberi apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.
Hal ini memandangkan pada Februari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah memaklumkan kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri akan dipertimbangkan jika 70 hingga 80 peratus rakyat sudah diberi vaksin Covid-19.
“Kami mohon jasa baik Datuk Seri dan pihak kerajaan agar dapat memberi kelonggaran atau kebenaran untuk kami merentas negeri.
“Nak tunggu 90 peratus macam lama rasanya. Takut nanti kami kena tunggu 100 peratus pula. Kami anak perantauan sudah lama tidak pulang ke kampung untuk melawat ibubapa kami.
“Ada yang sudah tua dan uzur. Sebagai contoh, ibu saya sudah berumur 79 tahun dan setiap hari bertanya bila saya dan keluarga dapat pulang.
“Saya percaya ramai rakyat yang terkesan tidak dapat berjumpa keluarga,” rayu Noni Jelani lagi.