Malaysia Dateline

Rakyat runsing kerajaan berdolak-dalik, bila tarikh sebenar penerimaan vaksin Covid-19?

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa kerajaan segera membentangkan kepada rakyat berhubung tarikh sebenar penerimaan vaksin Covid-19.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan garis masa pelan suntikan vaksin yang digerakkan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sehingga kini beberapa buah negara seperti Indonesia dan Singapura telah melaksanakan program vaksinasi.

“Bahkan, Bangladesh juga akan memulakan vaksinasi secara penuh ke seluruh negara bermula 7 Februari ini.

“Namun, Malaysia masih belum menyatakan dengan tepat tarikh sebenar suntikan Vaksin Covid-19 secara percuma akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, kenyataan kerajaan berhubung vaksin Covid-19 dilihat berdolak-dalik dan membimbangkan rakyat.

“Pada 13 Oktober 2020, Perdana Menteri menyatakan bahawa vaksin Covid-19 dijangka tiba selewat-lewatnya akhir tahun 2020.

“Kemudian Menteri Kesihatan memaklumkan vaksin Covid-19 fasa pertama akan mula diagih dan disuntik bermula bulan Februari 2021.

“Terbaru Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pula menyasarkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara akan bermula pada Mac ini,” katanya.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menegaskan ketidaktentuan pemberian vaksin itu merunsingkan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan siri kegagalan berterusan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi menangani isu ekonomi, pendidikan, kesejahteraan rakyat, kesihatan awam dan pelbagai lagi.