Malaysia Dateline

Rakyat Sabah berhadapan risiko kebuluran, kata Ketua Wanita PH

Ketua Wanita Pakatan Harapan, Senator Aiman Athirah mendakwa Program Bakul Makanan gagal diedarkan secara menyeluruh di beberapa buah daerah di Sabah yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional itu juga berkata, kelemahan kerajaan dalam menyalurkan bantuan ke seluruh kawasan terlibat menjadi ancaman paling besar untuk rakyat Sabah.

Menurutnya, bantuan didapati gagal sampai kepada setiap mangsa yang sepatutnya menjadi sasaran dan keutamaan pada masa kritikal, sehingga mereka kini berhadapan dengan risiko kebuluran.

“Perlu diinsafi bahawa kebanyakan rakyat Sabah masih berada pada tahap kemiskinan, menyara kehidupan dengan bekerja harian. Kais pagi makan pagi, kais petang makan malam.

“Justeru, situasi PKPD akan menyebabkan kebanyakan mereka akan hilang sumber mata pencarian sekaligus tiada apa yang boleh disajikan di atas meja makan.

“Ditambah dengan langkah pelaksanaan PKPD yang kini akan dipanjangkan lagi dari 24 Oktober sehingga 6 November 2020, ia akan menjadi malapetaka besar kepada rakyat kita di sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan, adalah penting untuk kerajaan Persekutuan bersama kerajaan Negeri Sabah mempertingkatkan penyampaian bantuan makanan dan hak asasi lain termasuk bekalan perubatan ke setiap pintu rumah rakyat yang terlibat.

Sekiranya tidak katanya, penduduk Sabah akan berhadapan dengan risiko kebuluran yang bukan sedikit, malah tidak mustahil sehingga ke tahap kehilangan nyawa yang bukan akibat penyakit Covid-19, tetapi kerana kelemahan dan kegagalan kerajaan dalam memastikan hak asasi rakyat tidak diabaikan.