Malaysia Dateline

Rakyat Sabah contoh keharmonian interaksi masyarakat

Pada pengamatan saya, orang Sabah sukar menerima parti cap agama kecuali orang itu berasal dari Malaya dan menetap di sana. Pencadang supaya ada Adun lantikan dari parti itu dalam DUN Sabah datang dari Umno Semenanjung, bukan Umno Sabah.

Parti-parti selain Umno lebih sukar untuk menerima parti itu meskipun usianya sudah melebihi 60 tahun. Bagi mereka parti itu bukan sesuai untuk orang Sabah. Penolakan itu tidak bermakna orang Sabah menolak Islam apatah lagi anti Islam, tapi ada faktor lain yang lebih kritikal.

Salah satu faktor utama ialah, parti itu dilihat tidak mesra kepelbagaian terutama kepelbagaian agama khususnya dalam konteks hubungan Islam – Kristian. Orang Sabah semenjak sekian lama hidup dalam harmoni antara pelbagai agama terutama antara penganut kedua-dua agama tadi.

Bagi mereka, berbeza agama tidak menghalang hubungan baik antara sesama manusia. Orang Islam boleh letak kereta di halaman gereja pada hari Jumaat dan orang Kristian boleh letak kereta di halaman masjid pada hari Ahad.

Perasaan curiga mencurigai, nanti orang Kristian mengkristiankan orang Islam atau orang Islam mengislamkan orang Kristian memang wujud secara normal, tetapi tidak sampai ke tahap berkembang menjadi perasaan benci-membenci antara kedua-dua pihak.

Parti cap agama dilihat tidak membawa aspirasi itu. Parti itu dipandang cuba menyuntik bibit-bibit pergeseran hubungan kemanusiaan berasaskan kelainan agama. Hal sebegini tidak digemari oleh masyarakat Sabah kerana menggugat keharmonian kehidupan seharian mereka.

Beberapa gaya fikir orang parti itu seperti tidak boleh bekerjasama dengan orang kafir, tidak boleh lantik orang kafir jadi pemimpin, orang kafir musuh Islam dan isu pluralisme agama menjadikan orang Sabah fobia dengan parti itu.

Cara parti itu menangani beberapa isu seperti isu Bible di hotel, isu salib, isu kalimah Allah, persepsi terhadap Bible dan banyak lagi turut menyumbang persepsi negatif orang Sabah kepada parti itu.

Selepas era Parti Itu For All, parti itu gigih meniup sentimen agama secara melulu dalam pelbagai isu terutama pada era kerajaan PH. Isu Adib, LGE menteri kewangan, peguam negara bukan Islam, RLA dilabel rahmatan lil kafirin dan banyak lagi menjadikan rakyat negara ini yang mahu kehidupan harmoni antara pelbagai agama terutama di Sabah tidak boleh menerima parti itu.

Rakyat Sabah adalah contoh keharmonian interaksi antara pelbagai agama yang wajar disuburkan. Pada masa yang sama pemikiran dan tindakan yang bertolak daripada sentimen agama melulu yang dipromosi oleh parti itu wajar ditolak oleh masyarakat negara ini demi sebuah keharmonian.