Rakyat Sabah perlu tumbangkan BN, bukan keluar Malaysia, kata Shafie Apdal

Rakyat  negeri Sabah diajak tumbangkan Barisan Nasional (BN) dan tidak berbangkit persoalan  negeri  Sabah perlu keluar dari Malaysia, kata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Rakyat  negeri Sabah diajak tumbangkan Barisan Nasional (BN) dan tidak berbangkit persoalan negeri  Sabah perlu keluar dari Malaysia, kata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata persoalan keluar dari Malaysia tidak berbangkit, sebenarnya hak rakyat Sabah perlu dibangkitkan oleh pemimpin negeri itu dan pusat selepas Umno bertapak di Sabah sejak 25 tahun lalu.

“Persoalan kita keluar dari Malaysa tidak berbangkit, sebenarnya hak kita yang berbangkit.

“Kita kena bersatu dan berpadu untuk tumbangkan BN di negeri Sabah ini,”ujar  beliau ketika berucap di hadapan 2,000 penyokongnya dalam majlis sambutan Hari Raya di Kampung Rampaian Laut, Kota Belud semalam.

Tegas Shafie lagi, hanya pilihan raya umum dapat menentukan kekuatan BN di Sabah dan rakyat Sabah diminta tidak terpengaruh dengan permainan BN untuk menarik penyokong terhadap parti itu.

“Saya tahu tidak ada nikmat perjuangan ini jika tiada pengorbanannya.

“Jangan takut dan bimbang akan banyaknya parti di Sabah kerana bukan parti yang menentukan siapa berkuasa di negeri Sabah.

“Yang menentukan kuasa di negeri ini adalah rakyat Sabah.

“Apa guna ada parti lokal tetapi jadi kuda tunggangan. Cukuplah kali ini…ini kalilah…jangan jual tangan ini. Tidak perlu dibeli dan jangan jual undi. Undilah parti yang kita akan tubuhkan nanti,” ujarnya yang  mendapat tepukan gemuruh dikalangan penyokong dalam rangka lawatan yang diadakan  di Bahagian Kota Belud selepas beliau mengumumkan keluar parti.

Shafie memberitahu beliau  berkemungkinan  mengumumkan parti baharu di negeri itu pada bila-bila masa sebelum pilihan raya akan datang.

“Insyaallah saya akan umumkan bila keadaannya tiba.

“Dalam politik kena teliti banyak perkara, perjuangan kita menuntut hak negeri Sabah dan rakyat Sabah. Sudah sampai waktunya kini.

“Orang Melayu bumiputera di Malaysia tidak akan mati kalau tidak ada Umno.

“Di Kelantan sudah 25 tahun Pas pegang tidak  pun mati orang Melayu di situ.

“DAP pegang dua penggal di Pulau Pinang, Lim Guan Eng jadi Ketua Menterinya, tidak mati orang Melayu.

“Di Selangor dua penggal PKR perintah, tidak mati orang Melayu di situ.

“Yang pecat, gantung dan matikan orang Melayu ialah orang Melayu dalam Umno.

“Jangan guna bangsa dan agama untuk menghalalkan perbuatan yang tidak halal itu.

“Kita kena bersatu kalau tidak kita berpecah belah. Jangan sekali-kali tunduk pada tekanan,” ujar Ahli Parlimen Semporna ini.

Shafie telah digantung jawatan partinya oleh Majlis Tertinggi Umno pada 24 Jun lalu kemudian beliau mengumumkan untuk keluar Umno pada 4 Julai.

Sambung beliau lagi, pilihan raya umum akan datang adalah medan ujian bagi BN di negeri Sabah.

“Saya tak mahu cakap besar. Lima penggal saya bertanding di Semporna, (Umno) tunggu pilihan raya lah,” katanya.

Dalam majlis diadakan itu turut di hadiri Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin.

Tun Mahathir baru-baru ini mengumumkan beliau akan mengasaskan sebuah parti baru di Semenanjung yang akan diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Manakala Shafie dilaporkan akan menubuhkan parti baharunya khusus di Sabah untuk rakyat negeri itu.

Dikalangan penyokong Shafie yang menyambut kehadiran beliau sejurus tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu malam Sabtu lalu dalam jadual lawatannya ke Kota Belud bertemu penyokongnya.