Malaysia Dateline

Rakyat Sabah punyai maruah, kata Shafie

Rakyat Sabah mempunyai maruah yang amat tinggi dan sudah sampai waktunya mandat dipulangkan kepada mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, dengan tempoh 60 hari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung, beliau yakin bahawa rakyat dan pengundi Sabah akan memilih wakil yang benar-benar ikhlas dalam memperjuang nasib mereka nanti.

“Sekarang sudah sampai waktunya mandat dipulangkan kepada rakyat dan pengundi di negeri ini.

“Maka, saya yakin orang Sabah mempunyai maruah dan tahu tekanan dengan situasi sekarang ini sekali gus akan mendorong dan menyokong seorang wakil rakyat yang jujur membantu mereka,” kata beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 73 kerusi akan dipertaruhkan termasuk 13 kerusi Dewan Undangan Negeri baharu pada PRN kali ini.

“Sebanyak 13 kerusi baharu itu telahpun diwartakan dan merupakan pertambahan kepada 60 kerusi sedia ada,” tegas beliau.

Katanya lagi, DUN berkenaan adalah Pintasan (Kota Belud), Pantai Dalit (Tuaran), Darau (Sepanggar), Keramat (Putatan), Limbahau (Papar), Tulid (Pensiangan), Bengkoka (Kudat), Bandau (Kota Marudu), Telupid (Beluran), Sungai Manila (Libaran), Lamag (Kinabatangan), Segama (Lahad Datu-Silam) dan Kukusan di Kalabakan.