Malaysia Dateline

Rakyat Sarawak balik dari luar dikuarantin di rumah bermula esok

Semua rakyat Sarawak yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di rumah selama 14 hari, berkuatkuasa pada 20 April 2020 (esok).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memberitahu, pada masa ini, mereka yang balik dari Kuala Lumpur, Sabah dan Labuan dikuarantin di hotel, namun selepas berbincang dengan pakar perubatan, JPBN membuat keputusan untuk membenarkan mereka dikuarantin di rumah dan dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelas kenyataan itu, bagi mereka yang tidak mempunyai rumah yang mana mereka tiba di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, mereka akan ditempatkan di pusat kuarantin yang telah disediakan di negeri ini.

“Untuk rakyat Sarawak yang balik dari luar negara, mereka akan tetap dikuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan sehingga semalam tiada pertambahan kawasan merah di Sarawak.

‚ÄúSukacita dimaklumkan bahawa sehingga semalam tidak ada pertambahan kawasan merah di negeri ini dan ia kekal dua iaitu Daerah Kuching dan Samarahan,” ujar kenyataan itu.

Tegas kenyataan itu lagi, dua daerah yang telah bertukar dari kawasan kuning kepada kawasan hijau adalah Daerah Lawas dan Matu.

“Dengan perubahan itu jumlah keseluruhan daerah yang diklasifikasikan sebagai kawasan hijau adalah kira-kira 65% iaitu sebanyak 26 dari 40 buah daerah.

“Bagi Daerah Mukah pula tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 33 hari yang lepas dan Daerah Sarikei serta Sri Aman turut tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 22 hari,” tambah kenyataan itu.