Rakyat Sarawak digesa bersama membina kemakmuran negara

Rakyat Sarawak digesa bersama membina  kemakmuran negara

Rakyat Sarawak adalah digesa agar meneruskan usaha bersama-sama bagi membina kekayaan serta kemakmuran di negeri ini dan Malaysia amnya.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2020 berkata, kerjasama adalah sangat penting bagi membina negara mencapai sesuatu kemajuan di samping kelayakan dan kemahiran yang dimiliki rakyat di negeri ini pada masa akan datang.

Katanya, Sarawak sangat bertuah kerana mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan kepercayaan serta saling menghormati selain memahami antara satu sama lain.

“Dengan demikian, saya terus bercakap mengenai perpaduan semua kaum tanpa mengira asal kaum dan kepercayaan mereka masing-masing.

“Dengan pelbagai kumpulan etnik boleh melihat kebaikan dalam kalangan masyarakat Cina walaupun mereka bukan Cina atau Cina boleh melihat kebaikan kaum Melayu, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu meski pun mereka bukan Bumiputera sekali gus mampu melihat kebaikan antara satu sama lain,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap setiap kaum di negeri ini perlu melihat sambutan Tahun Baharu Cina sebagai acara penting untuk semua kaum berinteraksi, merapatkan hubungan dan perpaduan.

“Tahun Baharu Cina atau perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak bukan sekadar diraikan oleh kaum tertentu sahaja, malah semua kaum akan dapat merapatkan hubungan persahabatan yang telah sedia ada sekian lama.

“Justeru, selepas bertahun-tahun kita mendapati, sebenarnya banyak manfaat daripada kepelbagaian budaya antaranya ialah perayaan yang diraikan oleh semua kaum ini.

“Jelas, semua rakyat Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu atau India telah banyak menyumbangkan kejayaan Sarawak dan Malaysia dengan tema ‘Mempercepatkan Pertumbuhan untuk Kesejahteraan Semua Rakyat Sarawak,” tambah Tun Taib.

Beliau menambah, pada tahun ini telah banyak diperkatakan mengenai keinginan dan cita-cita Malaysia mencapai status negara maju.

“Mungkin belum tiba masanya mencapai sasaran ini namun ia seharusnya ada dalam genggaman kita. Semoga Tahun Tikus akan membawa tuah yang melimpah ruah kepada kita semua.

“Semoga kita semua sentisa dirahmati Tuhan dan diberi keberanian, kebijaksanaan dan kesungguhan membina masa depan baharu bagi generasi mendatang…Gong Xi Fa Cai,” ujar beliau lagi.