Malaysia Dateline

Rakyat Sarawak digesa patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menggesa supaya rakyat di negeri ini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, rakyat Sarawak mesti bekerjasama dengan kerajaan dan komited sepenuhnya bagi membasmi ancaman COVID-19 yang melanda negara dan di negeri ini.

Katanya, pematuhan perintah itu sangat penting ketika kerajaan begitu komited membendung penularannya terus berlaku.

“Terimakasih kepada rakyat Sarawak yang sangat berdisiplin dan memberi kerja sama kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan. Komitmen dan kerjasama rakyat dengan kerajaan amat diperlukan untuk menghapuskan ancaman COVID-19.

“Orang ramai disaran untuk mematuhi garis panduan-garis panduan yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti mengamalkan penjagaan kesihatan pada standard tertinggi, (memelihara) penjarakan sosial dan kuarantin di rumah adalah faktor utama mengawal penularan dan jangkitan COVID-19.

“Oleh demikian, bersama-samalah kita berkorban untuk memastikan objektif untuk mengekang COVID-19 akan tercapai,” jelas beliau menerusi kenyataan di Kuching hari ini.

Menurut Uggah, rakyat Sarawak perlu belajar dari China, Singapura dan Korea Selatan tatkala disiplin dan kerjasama rakyatnya dengan pihak berkuasa berjaya mengekang penularan COVID-19.

Beliau memberitahu lagi, kes penyakit tersebut akan meningkat sekiranya langkah-langkah pencegahan kurang diambil perhatian selain kurangnya persediaan daripada rakyat dan kerajaan.

“Kita semua mesti bekerjasama dan amat mustahak untuk kita bekerja sama menentang musuh kita semua ini,” tegasnya.

Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah di bawah Akta Polis akan membuat pengawasan dan penguatkuasaan di semua tempat awam.

Dalam pada itu, Sarawak semalam terus merekodkan pertambahan lima lagi kes positif COVID- 19 menjadikan jumlah COVID-19 di negeri ini seramai 50 kes.

Daripada lima kes itu, dua dirawat di Hospital Umum Sarawak, dua di Hospital Sibu dan satu kes di Hospital Bintulu.