Malaysia Dateline

Rakyat Sarawak dinasihat tidak masuk ke Zon Merah

Rakyat Sarawak dinasihatkan agar tidak melakukan pergerakan antara daerah terutamanya perjalanan ke Zon Merah.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, setakat ini Daerah Kuching merupakan kawasan Zon Merah manakala Lundu, Miri dan Limbang kekal berstatus kuning.

“Untuk pergerakan antara daerah, rakyat Sarawak adalah dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke kawasan Zon Merah, khususnya di Daerah Kuching. Begitu juga dengan penduduk di Daerah Kuching, mereka tidak digalakkan untuk keluar dari Kuching dalam tempoh dua minggu ini.

“Selain Daerah Kuching, Lundu, Miri dan Limbang pula kekal berstatus kuning. Ini menjadikan jumlah daerah yang berstatus merah adalah satu, tiga berstatus kuning dan 36 buah daerah lain di Sarawak kekal berada dalam status hijau,”kata JPBN.

Sehubungan itu, JPBN turut menasihatkan supaya penduduk di Daerah Kuching membeli makanan secara bungkus memandangkan kes-kes positif Covid-19 yang tinggi direkodkan di daerah ini.

Malah, JPBN juga menyarankan agar semua majikan dan Ketua Jabatan digalakkan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah dalam tempoh dua minggu ini sehingga arahan terbaharu dikeluarkan nanti.

Setakat ini, Daerah Kuching mencatat jumlah keseluruhan 100 kes jangkitan tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Semalam, Sarawak telah merekodkan 14 kes positif baharu Covid-19 dengan satu kluster baharu diisytiharkan iaitu Kluster Wisma Saberkas.

“Kesemua kes berkenaan adalah di Daerah Kuching yang mana 14 kes itu adalah lima daripada Kluster Greenhill, tiga Kluster Wisma Saberkas, empat daripada jangkitan tempatan yang dikesan melalui saringan kendiri, satu kes import B dan satu lagi kes jangkitan tempatan yang menjalani saringan di fasiliti kesihatan swasta di sini.

Bagi Kluster Wisma Saberkas, jelas JPBN ketiga-tiga kes berkenaan merupakan kontak tempat kerja yang menjalani saringan selepas kes ke-884 disahkan positif pada 1 November 2020.
.
Ujar JPBN, ia melibatkan dua premis yang berada dalam bangunan Wisma Saberkas dengan kes mula dikesan apabila kes ke-866 menjalani saringan kendiri pada 26 Oktober lalu kerana mengalami demam dan batuk.

“Berikutan daripada laporan itu, tujuh kes lagi dikesan melibatkan kluster ini.Kes-kes ini dalam lingkungan umur 13 hingga 37 tahun dengan satu kes merupakan ahli keluarga dan enam kontak tempat kerja.

“Dan setakat semalam, seramai 112 individu telah disaring melalui aktiviti pengesanan aktif yang sedang dijalankan di bangunan Saberkas.

“Dengan pertambahan kluster baharu itu, ini bermakna sebanyak enam kluster masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Baki, Kluster Greenhill, Kluster Bah Arnab, Kluster Seladah di Daerah Kuching dan Kluster Putra di Daerah Bintulu,” kata JPBN.