Malaysia Dateline

Rakyat Sarawak disaran tangguh balik Hari Krismas

Rakyat Sarawak yang bekerja di luar negeri disaran supaya menangguhkan hasrat balik bercuti sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu nanti.

Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ini adalah bagi menggelak risiko penularan Covid-19 sekiranya ramai rakyat yang bekerja di luar negeri pulang ke kampung halaman masing-masing.

Malah, kata beliau rakyat Sarawak turut tidak digalakkan berziarah atau kunjung-mengunjungi semasa sambutan Hari Krismas dan cuti Tahun Baharu.

“Saya berharap kita sama-sama kekal tinggal di rumah semasa Krismas dan Tahun Baharu nanti.

“Ini kerana saya mahu kita meraikan Krismas dan Tahun Baharu pada tahun-tahun mendatang dan tidak mahu Krismas dan Tahun Baharu ini yang terakhir untuk anda.

“Kita telah banyak menghadapi kesukaran sepanjang tahun dan adalah baiknya kita meneruskan norma baharu ini dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka sedikit lama lagi,” ujar beliau.

Dr Sim turut berterima kasih kepada rakyat Sarawak kerana telah memberi kerjasama baik dalam usaha mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19 di negeri ini.

“Maka dengan itu, kerja sama serta disiplin tinggi ini mestilah dikekalkan ketika sambutan Krismas dan cuti Tahun Baharu nanti serta diteruskan sehingga sambutan Hari Gawai dan Hari Raya kelak.

“Kita juga menasihati rakyat di negeri ini supaya jangan bertandang ke Zon Merah Covid-19 di Semenanjung Malaysia dan Sabah memandangkan kes yang dilaporkan setakat ini disebabkan kes import melibatkan rakyat Sarawak pulang dari Zon Merah tanpa menyedari mereka telah menyebarkan virus kepada ahli keluarga serta rakan-rakan di sini,” jelas beliau.