Rakyat Sarawak  diseru undi 16 calon wanita Pakatan Harapan

Rakyat Sarawak diseru undi 16 calon wanita Pakatan Harapan

Rakyat Sarawak diseru memilih calon wanita yang mewakili Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak agar mereka berperanan mengembangkan potensi kaum wanita di negeri itu yang dilihat masih terkebelakang, kata Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, Sarawak antara negeri yang masih terkebelakang dalam usaha membangunkan potensi, kemahiran dan kepimpinan wanita kerana sebilangan besar rakyatnya masih berada di kawasan pedalaman yang jauh dari akses pembangunan negeri.

“Amat penting untuk pemimpin politik wanita berperanan dalam komuniti mereka agar potensi kaum wanita di negeri Sarawak ini dapat dioptimumkan,” katanya yang juga ahli parlimen Kota Raja.

Pakatan Harapan meletakkan 14 calon wanita yang terdiri daripada enam calon PKR, DAP (5) dan Amanah (2).

Bilangan ini jauh melebihi BN yang hanya meletakkan lima calon wanita, empat calon senior dan hanya seorang muka baharu.

Siti Mariah berkata, kesediaan Pakatan Harapan meletakkan jumlah calon wanita yang melebihi jumlah calon wanita BN ini menunjukkan kesungguhan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan dalam mengangkat martabat wanita dan memperjuangkan isu-isu kebajikan serta pembangunan wanita khususnya kaum wanita di Sarawak.

“Kesungguhan Pakatan Harapan menghantar calon wanita dalam PRN kali ini juga merupakan kejayaan awal Pakatan Harapan dalam membangunkan kualiti kepimpinan dalam kalangan ahli mereka.

“Ia juga secara tidak langsung memperlihat bahawa Pakatan Harapan mempunyai calon pemimpin wanita yang lebih ramai dan berkelayakan untuk memperjuang isu rakyat berbanding pemimpin wanita dalam Barisan Nasional,” katanya lagi.

Amanah meletakkan Nurzaiti Hamdan di Dun Balingian dan Nani Sahari di Dun Samariang.

Secara keseluruhan, seramai 22 calon wanita bertanding pada PRN kali ini berbanding 16 pada PRN 2011.

Samariang adalah satu-satu kawasan yang akan menyaksikan dua calon wanita iaitu penyandang Sharifah Hasidah dari PBB dan Nani Sahari dari Amanah dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon Pas, Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi.

Pas meletakkan seorang calon wanita iaitu Hamidah Mokhtar di Beting maro yang akan berdepan calon Amanah, Andri Zulkarnaen Hamden dan Razali Gapor dari BN.

Parti pembangkang tempatan, Star, menyenaraikan dua calon wanita iaitu di Dun Simanggang dan Marudi daripada 11 kerusi yang ditandingi oleh parti itu.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan hari membuang undi pada 7 Mei depan.

TAGS