Malaysia Dateline

Rakyat Sarawak mohon hentikan darurat

Rakyat Sarawak menggesa agar darurat yang dilaksanakan sejak 14 Januari 2021 sehingga 1 Ogos depan dihentikan.

Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Abang Halil Abang Naili berkata, sudah hampir setahun dunia dilanda Covid-19, seluruh rakyat di dunia termasuk di negara ini telah menderita akibat ‘lockdown’ dan hilang pekerjaan sta punca pendapatan.

“Kita melihat rakyat terutamanya di Sarawak ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang…manakala yang berada dan kaya tidaklah terasa sangat dengan keadaan sekarang.

“Dan apabila darurat dilaksanakan rakyat amat terkesan apatah lagi dalam tempoh yang sangat lama,” kata beliau.

Abang Halil berkata demikian ketika bersama pimpinan AMANAH Sarawak mengadakan Kempen Tamat Darurat di Kuching malam tadi.

Justeru, jelasnya, apabila darurat dilaksanakan ekonomi negara akan semakin merundum sekali gus menyebabkan rakyat
tidak boleh keluar mencari pendapatan khususnya penduduk yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.

“Malah darurat ini menyebabkan ‘Foreign Direct Investment’ atau pelaburan-pelaburan dari luar tidak dapat masuk ke dalam negara kita dan telah memberi impak kepada ekonomi negara.

“Oleh demikian, hentikanlah darurat kerana ia boleh menyusahkan lagi rakyat jelata,” ujar Abang Halil.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen menambah, darurat dilaksanakan adalah sekadar keperluan politik semata-mata serta hanya digunakan untuk menawar dan mengugut Ahli Parlimen lain supaya menyokong Kerajaan Perikatan Nasional(PN).

“Darurat juga digunakan bagi menangguhkan Sidang Parlimen kerana Kerajaan PN sudah tiada majoriti selain memanjangkan tempoh jawatan Perdana Menteri itu sendiri,” soalnya.

Sebelum itu, Kempen Tamat Darurat mula turun ke akar umbi masyarakat negara ini apabila Pengerusi Jawatankuasa kempen itu, Khalid Samad turun berkempen di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur malam tadi.

Kempen itu dibuat sambil mereka menyantuni gelandangan di sekitar Pasar Seni atau Central Market, Kuala Lumpur.

Turut serta bersama Khalid adalah Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli dan pemimpin AMANAH Wilayah Persekutuan.

Khalid bersama Jawatankuasa Tamat Darurat sebelum ini melancarkan kempen mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Kempen itu dilancarkan untuk mengumpulkan sokongan rakyat negara ini untuk merayu Yang Dipertuan Agong agar menamatkan darurat.

Ini kerana, usaha untuk melawan Covid-19 tidak memerlukan darurat kerana semua pihak telah memberikan kerjasama secara sukarela tanpa perlukan kuasa darurat untuk meminta mereka bersama-sama kempen itu.

“Darurat merosakkan ekonomi, politik dan sosial negara sedangkan undang-undang yang ada sudah mencukupi untuk melawan Covid-19,” kata Khalid ketika berucap di majlis pelancaran kempen itu baru-baru ini.

Sehingga kini lebih 15,000 orang telah menyokong kempen ini melalui laman tamatdarurat.com di mana orang ramai boleh menandatangani sokongan terhadap kempen itu melalui laman web itu.