Malaysia Dateline

Rakyat Sarawak, pasangan dari luar negara perlu dikuarantin

Rakyat Sarawak bersama pasangan serta keluarga yang tiba dari luar negara melalui Semenanjung Malaysia akan dikuarantin di ‘First Point of Entry’ di Malaysia berkuatkuasa mulai semalam.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, pengurusan tempat kuarantin akan diuruskan oleh Pejabat Perhubungan Negeri Sarawak.

Kata JPBN, tempahan tempat kuarantin melalui Pejabat Perhubungan Negeri Sarawak dapat dibuat melalui https://sarawakdisastermc.com/eshotel (Quarantine Centre in Peninsular Malaysia).

“Tempahan hendaklah dibuat dalam tempoh tujuh hingga 10 hari bekerja sebelum berangkat ke Malaysia.

“Bagi yang bukan warga Sarawak termasuk pemegang pas jangka panjang (long term passes holder), mereka dikehendaki untuk dikuarantin di ‘First Point of Entry’ (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau KLIA2) yang diuruskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), “jelas JPBN.

JPBN turut memaklumkan sejumlah 30 kes baharu jangkitan Covid-19 telah direkodkan di negeri ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini meningkat kepada 252,094 kes semalam

“Daripada 30 kes baharu, 29 kes adalah kategori satu dan dua manakala satu kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

“Kuching kekal daerah yang merekodkan kes harian tertinggi iaitu 13 kes, diikuti Lawas (5), Sibu (4) dan Miri (3) manakala lima daerah iaitu Serian, Lubok Antu, Bau, Bintulu dan Dalat masing-masing satu kes.

“Bagaimanapun, tiada kematian akibat jangkitan Covid direkodkan,” tambah JPBN lagi.