Malaysia Dateline

Rakyat Sarawak tiada MyKad boleh terima vaksin

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan rakyat di negeri ini yang tidak memiliki MyKad atau kad pengenalan boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, ketiadaan MyKad adalah tidak menjadi masalah dan isu untuk sesiapa individu menerima suntikan vaksin.

“Dalam hal ini, ketua kampung boleh mengesahkan kepada individu yang tiada memiliki kad pengenalan.

“Ada dua, tiga orang tidak ada IC dalam kampung apa salah kalau ketua kampung telah sahkan kerana ketua kampung atau ketua masyatakat tahu akan anak buahnya,” katanya sambil memberitahu individu berkenaan tetap dapat menerima suntikan vaksin seperti orang lain juga.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, satu mekanisme telah diwujudkan bagi membantu individu tanpa MyKad mendapatkan vaksin.

“Mekanisme ini sudah dimaklumkan kepada semua jentera untuk tindakan bagi melancarkan program vaksinasi di Sarawak.

Berkaitan suntikan vaksin bagi pekerja asing di negeri ini, beliau menjelaskan ia adalah percuma tetapi kos perkhidmatan bagi vaksinasi akan ditanggung oleh majikan.

“Kerajaan hanya menanggung sepenuhnya kos vaksinasi melibatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam seperti di Stadium Perpaduan Negeri dan yang lain,”, ujarnya lagi.