Rakyat Sarawak tidak boleh percaya kembar siam ‘Team Najib-Adenan’

Rakyat Sarawak tidak boleh percaya kembar siam ‘Team Najib-Adenan’

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa dengan mengundi ‘Team Adenan’ ia adalah untuk mempertahankan hak-hak dan autonomi Sarawak merupakan mitos yang jelas berikutan pengakuan Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak bahawa Tan Sri Adenan telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Demikian pandangan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, Adenan terhutang budi dengan Perdana Menteri kerana melantik beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak.

“Adenan telah membalas jasa Najib dengan menyokong pelaksanaan GST di Sarawak dan mengarahkan kesemua Ahli Parlimen BN Sarawak untuk mengundi rang undang-undang GST di Parlimen.

“Najib sangat berkeyakinan bahawa sokongan Adenan kepadanya adalah setia dan tidak berbelah bahagi, dan Najib telah menolak permintaan Sarawak untuk menaikkan royalti minyak dari 5 peratus kepada 20 peratus pada Mesyuarat Kabinet semalam.

“Tidak hairanlah Perdana Menteri kini berusaha keras untuk memastikan kemenangan besar untuk ‘Team Adenan’ kerana ‘Team Adenan’ sebenarnya adalah ‘Team Najib’, malah mengadakan mesyuarat mingguan Kabinet di Kuching semalam.

“Oleh itu adalah tidak benar dan tidak jujur untuk Tan Sri Adenan mendakwa bahawa Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak bukan disebabkan Skandal RM50 bilion 1MDB, GST atau derma Najib RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya.

“Oleh itu pengundi Sarawak perlu menimbang secara berhati-hati kerana mengundi ‘Team Adenan’ bermaksud turut menerima ‘Team Najib’ – seperti beli satu dapat satu.” ujarnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang ini juga berkata, rakyat Sarawak tidak boleh mempercayai kembar siam ‘Team Najib/ Adenan’ kerana kemenangan mutlak ini akan membawa kepada kuasa mutlak, memandangkan rekod buruk penyalahgunaan kuasa terutamanya skandal menjual tanah beribu-ribu ekar, bukan kepada rakyat biasa Sarawak tetapi kepada ‘orang kenamaan’.

“Atas sebab itulah dengan mengundi team DAP yang tinggi untuk menafikan majoriti 2/3 BN adalah penting untuk melindungi hak-hak Sarawak daripada terus dicabuli oleh kembar siam ‘Team Najib/ Adenan’.

” Adenan telah membalas jasa Najib atas pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak dengan menyokong GST dan menerima royalti minyak Sarawak tidak akan dinaikkan dari 5 peratus kepada 20 peratus.

“Pengundian Team Najib/ Adenan bermaksud menerima pembayaran GST, menyokong royalti minyak tidak akan dinaikkan kepada 20% dan juga menyokong semua skandal tanah dan kewangan seperti RM50 bilion 1MDB dan skandal derma RM2.6 bilion.

Najib bukan sahaja memperdaya rakyat tetapi juga dirinya apabila beliau mendakwa mengadakan mesyuarat seperti mesyuarat kabinet di Kuching adalah perkara biasa kerana setiap menteri mempunyai tanggungjawab di peringkat negeri.

“Jika ini berlaku, mengapa mesyuarat kabinet tidak diadakan di setiap negeri? Mengapa mengadakan mensyuarat kabinet di Kuching ketika tempoh Pilihanraya Umum Negeri Sarawak dan bukan ketika majlis-majlis biasa yang lain? soalnya.

Lim Guan EngGuan Eng berkata, dalam reaksi balasnya, Najib berkata ‘jika pembangkang mahu menjadikan ini sebagai isu, saya ingin mengingatkan kepada pemimpin mereka seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dia tidak mempunyai kuasa di luar Pulau Pinang tetapi hanya di sini untuk tujuan berkempen’.

“Saya tidak tahu mengapa Najib berhasrat untuk menjadikan kehadiran saya di Sarawak sebagai isu apabila saya secara terbuka menyatakan kehadiran saya adalah untuk berkempen bagi 31 calon DAP yang bertanding di Sarawak.

“Saya tidak pernah mengadakan mesyuarat mingguan negeri (Exco) di luar Pulau Pinang dan tidak mungkin di Kuching.

“Saya juga tidak pernah menyembunyikan fakta bahawa saya di Sarawak untuk mengetuai aktiviti politik yang sah sebagaimana yang diperuntukan di bawah Seksyen 67 Akta Imigresen.

“Walau bagaimanapun, meskipun menjalankan hak saya yang betul iaitu mengetuai aktiviti politik yang sah, Ketua Menteri Pulau Pinang tetap hanya dibenarkan berada di Sarawak sehingga 5 Mei dan dihalang berada di Sarawak sehingga hari pengundian pada 7 Mei 2016.

“Penyalahgunaan kuasa ini adalah petunjuk bahawa Adenan berkelakuan tidak berbeza dengan Najib dalam kesediaannya untuk menyalahgunakan kuasa yang tidak pernah dilakukan pemimpin terdahulu.” ujarnya.

TAGS