Malaysia Dateline

Belanja RM1 juta ubah suai pejabat, pemimpin tidak tunjuk sikap baik terhadap kesusahan rakyat

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengkritik tindakan kerajaan yang membelanjakan hampir RM1juta hanya untuk mengubahsuai dan membeli perabot baru bagi pejabat empat menteri dan timbalan menteri.

Beliau berkata, sikap berkenaan sama sekali tidak mempamerkan keprihatinan dan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat yang sedang susah.

Beliau membandingkan sikap tidak prihatin berkenaan dengan realiti kehidupan rakyat apabila 580,000 isi rumah berpendapatan sederhana kini tergelincir ke dalam kategori berpendapatan rendah (B40),.

“Saya kira kenyataan PM tentang kegelinciran 580,000 isi rumah ke kategori B40 adalah satu perkara serius, lebih-lebih lagi melibatkan masa depan rakyat dan masalah kemiskinan kian meninggi.

“Walau bagaimanapun, kenyataan satu lagi (tentang ubah suai pejabat) tidak mempamerkan keprihatinan dan sikap bertanggungjawab baik kerajaan.

“Apakah perasaan rakyat yang sedang tenat akibat hilang pendapatan tapi terpaksa pula menghadam sikap pemimpin yang pentingkan keadaan perabot dan rekaan dalaman dikala rakyat mengikat perut tidak cukup makan?,” soalnya dalam satu hantaran Facebooknya semalam.

Sebelum ini, Ismail memaklumkan bahawa lebih RM1 juta dibelanjakan kerajaan untuk mengubah suai dan membeli perabot baru pada tahun 2020 dan 2021.

Menurutnya, kerja-kerja penggantian perabot lama sepanjang tempoh dua tahun itu dijalankan mengikut ketetapan dan kelayakan berdasarkan garis panduan serta peraturan Unit Perancang Ekonomi JPM.

Untuk rekod, kos pengubahsuaian serta menukar perabot baru di pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) mencecah RM470,000 sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Kos ubah suai sahaja sebanyak RM380,000 manakala kos penukaran perabot pula mencecah RM90,000, di mana tender telah diberikan kepada kontraktor Puncak Interaktif Sdn Bhd.