Malaysia Dateline

Rakyat Selangor berang telefon bilik gerakan Covid-19 tidak berjawab

 

Hubungi berpuluh kali bilik gerakan Covid-19 tetapi tidak berjawab. Itu aduan ramai penduduk Selangor di laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Walaupun jabatan itu meletakkan senarai nombor telefon dan e-mel bagi kesemua di daerah tetapi rata-rata memberi maklum balas negatif.

“Saya call PKD Hulu Langat banyak kali sejak 3 Januari 2021. Tiada orang jawab langsung. CPRC Selangor hotline pun sama,” kata Michelle Tan.

Hal sama juga diberitahu Yaya Jasmin, “Klang berpuluh kali call, tak jawab-jawab.”

Sebelum itu, JKN Selangor memuat naik poster mengandungi senarai Bilik Gerakan Covid-19 dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negeri itu sejak 7 Januari lalu.

Setiap daerah mengandungi dua nombor talian untuk dihubungi serta satu talian khusus di KLIA selain dua nombor CPRC Selangor.

Namun, ada yang mendakwa nombor bilik gerakan di daerah tertentu tidak berfungsi dan tiada dalam perkhidmatan.

“Petaling; 03-78040485 tak berfungsi! Nombor yang anda dail tiada dalam perkhidmatan!

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor/CPRC Selangor/PKD Petaling, sila betulkan maklumat. Terima kasih,” kata Sukdershan Singh HS.

Malah, ada individu mendakwa pesakit yang lebih seminggu berada di rumah selepas disahkan positif Covid-19 oleh klinik swasta masih belum dilayan pihak KKM.

“Pesakit tidak akan dihubungi (KKM) walaupun sudah lapan hari di rumah. Pesakit hanya boleh berdikari.

“Bukan seorang dua tapi ramai termasuk saya. Pandai-pandailah sihat sendiri. KKM Selangor tidak akan menghubungi anda,” tulis pengguna Facebook Fendi.

Selangor terus menyaksikan kes harian jangkitan Covid-19 tertinggi dengan sebanyak 950 kes positif hari ini menjadikan jumlah kumulatif mencecah 54,334 kes.

Daripada 950 kes jangkitan hari ini di Selangor, 240 kes daripada kluster sedia ada dan 83 kes daripada kluster baharu, Jalan Sebelas.

Sebanyak 482 kes dikesan hasil saringan kontak rapat dan 144 kes lain-lain saringan manakala satu kes positif Covid-19 lagi merupakan kes import.