Rakyat Selangor dibenar solat tarawih 20 rakaat tanpa jarak April ini

Oleh NASUHA RAHMAN

Rakyat Selangor dibenar solat tarawih 20 rakaat tanpa jarak sepanjang Ramadan mulai April ini, demikian menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan tersebut dibuat setelah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengadakan satu rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

“Hanya individu berumur 18 tahun dan ke atas yang lengkap dua dos vaksin COVID-19, membawa sejadah dan memakai pelitup muka termasuk sahaja dibenarkan hadir ke masjid dan surau.

“Individu yang bergejala diminta menangguhkan dari menghadiri sebarang aktiviti di masjid dan surau sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Namun begitu, Mohd Shahzihan berkata, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa bimbang dengan penularan wabak Covid-19 yang masih tinggi di Selangor.

Oleh itu, baginda menasihati rakyat Selangor untuk terus berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa.

“Baginda masih bimbang penularan wabak COVID-19 masih tinggi di Selangor yang mencatat jumlah kematian sebanyak 10,413 setakat 19 Mac lalu dengan lebih 50 peratus daripadanya adalah orang Melayu.

“Oleh yang demikian, baginda menasihati rakyat Selangor agar tetap berhati-hati dan terus mematuhi SOP serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa,” katanya dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan supaya solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negeri ini dirapatkan saf seperti biasa mulai 1 April ini.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/5-jalan-mudah-untuk-bakar-lemak-tanpa-senaman/