Malaysia Dateline

Rakyat Selangor wajib pertahankan Azmin dan pentadbirannya, kata Ezam

Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor, menyifatkan serangan yang dilakukan ke atas Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan pentadbirannya, sebagai berniat jahat, terdesak dan songsang.

Justeru katanya, adalah menjadi kewajipan setiap rakyat Selangor yang waras dan mempunyai maruah dan prinsip keadilan mempertahankan MB Selangor dan pentadbirannya yang diserang dengan cara jijik, tidak beretika dan menceroboh prinsip keadilan.

“Atas dasar dan prinsip ini saya sebagai anak jati Selangor ingin menyatakan secara jelas dan terbuka akan mempertahankan MB negeri Selangor YAB Dato Seri Mohamed Azmin Ali dan pentadbirannya.

“Adalah amat malang bagi negeri Selangor apabila seorang Menteri Besar yang telah mempamerkan komitmen kerja luar biasa diganggu daripada meneruskan kerja baik beliau membina negeri hanya kerana memenuhi agenda kotor dan jijik beberapa kerat pemimpin yang sudah hilang legitimasi dan mahu membunuh sebarang ancaman dari pemimpin politik yang mempunyai rekod kerja yang baik, disenangi rakyat terbanyak seperti Azmin,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, setiap rakyat Selangor yang mendukung prinsip keadilan dan mempertahankan kepentingan rakyat negeri ini wajib bersama mempertahan dan membela MB yang berkeran fokus jelas membela kepentingan rakyat.

“Selangor tidak boleh membenarkan agenda politik sempit dan jijik mana-mana individu terdesak menjadi batu penghalang kepada usaha pentadbiran negeri di bawah Azmin hari ini yang mempunyai iltizam jelas menjulang Selangor ke arah masa depan cemerlang.

“Sebagai Pengerusi Hisbah, saya juga ingin mengingatkan semua institusi negara dan rakyat untuk tidak melakukan kesalahan mengganggu dan merosakkan sesuatu kepimpinan yang mentadbir dengan baik dan berhemah.

“Hisbah juga ingin sekali lagi mengingatkan dan menegaskan kepada institusi kerajaan dan rakyat akan kewajiban mereka memperbetul dan melakukan proses hukum terhadap pentadbiran yang menyeleweng dan mencuri harta rakyat seperti yang jelas berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini,” tambah bekas Senator Dewan Rakyat itu.

Kata Ezam lagi, sebagai bekas pegawai di Kementerian Kewangan dan juga Ahli Jawatankuasa Parlimen mengenai rasuah yang sentiasa menjadikan agenda rasuah agenda utama saya, beliau tahu dan amat maklum kepada kepincangan besar yang berlaku dalam kes 1MDB dan SRC yang mana proses keadilan dan hukuman dihalang daripada berlaku dan penjenayah-penjenayah yang mencuri ribuan juta wang khazanah negara terus lepas bebas.

“Hakikat yang berlaku ini merupakan pelanggaran kepada prinsip utama pentadbiran didalam Islam yang pernah ditunjukkan sendiri oleh baginda Rasulullah SAW di dalam hadis masyhur di mana setiap penjenayah yang mencuri khazanah negara mesti dihukum walaupun ia dilakukan oleh putrinya sendiri, Fatimah.

“Maka tumpuan memperbetulkan kepincangan pentadbiran seharusnya hari ini berlaku terhadap Kerajaan Persekutuan di Putrajaya yang jelas melindungi penjenayah yang mebyamun biilon harta negara dan bukannya terhadap pentadbiran negeri Selangor di Shah Alam yang komited mempertahankan setiap ringgit harta negeri ini.

“Dalam erti kata lain, serangan terhadap Shah Alam adalah langkah songsang. Langkah yang betul adalah menumpukan segenap usaha memperbetulkan kepincangan pendtadbiran di Putrajaya yang terus melindungi penjenayah yang telah menyamun khazanah negara dalam jumlah yang paling besar dalam sejarah,” katanya.