“Rakyat semua dapat CGPA 3.85”, selar Pengerusi Bantah TPPA

“Rakyat semua dapat CGPA 3.85”, selar Pengerusi Bantah TPPA

Membandingkan pemahaman majoriti rakyat terhadap kandungan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dengan pencapaian akademik seorang menteri, Pengerusi Bantah TPPA, Mohd Nizam Mahshar mencuit hati hadirin Sidang Kemuncak TPPA 2016 pagi ini.

“Rakyat negara ini semuanya dapat CGPA 3.85 (sebab hanya) perlu dua bulan sahaja untuk memahami TPPA). Kita sudah dua tahun lepas minta (TPPA) debat di parlimen supaya maklumat sampai pada MP (Ahli Parlimen) dan rakyat boleh berbincang.

“Bukan sekarang baru nak bahas di parlimen. Ini sudah menghina kepandaian rakyat Malaysia. Kita (sekarang) tidak boleh buat perubahan,” ujarnya merujuk kepada teks perjanjian penuh rahsia itu yang hanya didedahkan kepada umum Oktober lalu.

Mengakui banyak jargon teknikal berkaitan istilah perundangan dalam butiran perjanjian yang turut melibatkan 11 lagi negara lain, beliau berkata, model ekonomi sedia ada juga masih belum dapat memastikan kualiti hidup rakyat terjamin.

“Bila kita dicubit dengan kemeseletan ekonomi, kesan kos sara hidup dapat dirasakan. Di bawah MTEM (Majlis Tindakan Ekonomi Melayu), ada 60 badan ekonomi Melayu yang juga mengakui nak dapat projek daripada kerajaan pun semakin susah, peluang kepada usahawan semakin sukar. Ini sebelum TPPA (ditandatangani),” dedahnya.

Beliau berkata, TPPA yang merangkumi perdagangan bebas membabitkan 40 peratus ekonomi dunia itu paling dibimbangi memberi kesan dari segi perlembagaan.

“Setiap huruf, koma, ayat membawa kesan dari segi perlembagaan. Tak boleh baca selapis, sepanjang lima tahun rundingan (TPPA), bila kita komen, mereka kata tak tengok teks. Lepas dua bulan teks didedahkan, kita diminta setuju, bertentangan dengan prinsip demokrasi yang menjanjikan mendahulukan rakyat,” bidasnya.

Beliau walaupun tidak menolak manfaat TPPA tetapi menegaskan lebih banyak implikasi buruk akan berlaku memandangkan sejak tahun 2013, kerajaan dilihat tidak melakukan kajian menyeluruh termasuk industri yang mendapat manfaat hasil menyertai TPPA.

“Yang mana baik, kita terima seperti rundingan mempertahankan beras, memang ada serba sedikit kebaikan tetapi impak buruknya lebih ketara.

“Kerajaan pusing seluruh negara kata TPPA ini baik tapi dalam masa sama kita tidak boleh ubah, kita kena ambil atau tolak sepenuhnya. Jangan jual negara. Selama ini pun pengagihan yang baik bagi perolehan kerajaan belum terlaksana,” tambah Nizam lagi.

TAGS