Malaysia Dateline

Rakyat sengsara, lebih banyak kerosakan jika PN kekal memerintah

Lebih lama kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibiarkan menunjangi kepimpinan negara, adalah dibimbangi akan lebih banyak kerosakan, kerugian dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat dan negara.

Malah lebih memudaratkan apabila rakyat terpaksa menanggung segala beban dan kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu sepertimana yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa mengambil alih kepimpinan dari kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Menurut Ketua Wanita AMANAH (AWAN) Negeri Perlis, Che Mazlina Che Yob, kini sudah sampai masanya untuk rakyat berhempas pulas menolak kepimpinan berterusan kerajaan PN yang sedang bermaharajalela.

“Apabila perdana menteri menyatakan negara sudah tidak mempunyai wang lagi maka sepatutnya beliau mengambil tindakan segera, serius dan drastik.

“Potong peratusan gaji menteri dan juga timbalan menteri termasuk elaun dan imbuhan yang tidak diperlukan dengan segera untuk suatu tempoh bagi mengembalikan dana negara yang semakin mengempis dan tiada lagi pelantikan baru dalam Kabinet yang akan memaksa kantung negara bertambah menipis.

“Apabila PM sendiri melahirkan kekurangan dana negara, maka langkah utama dan wajib dilaksanakan ialah memotong gaji dan elaun yang tidak sepatutnya kepada Menteri dan Timbalan Menteri dengan segera mulai bulan April ini tanpa lengah,” katanya.

Katanya lagi, apabila pendapatan menteri terlalu tinggi, ia bukan satu perkara yang harus dipandang enteng oleh rakyat yang sedang dibelenggu dengan seribu satu macam permasalahan ekonomi bagi menambah sumber pendapatan.

Maka itu tegas Che Mazlina, PM harus buktikan bahawa kerajaan PN pimpinan beliau sudah bersedia untuk sama-sama mengembalikan kelompongan dan ketirisan dana negara.