Malaysia Dateline

Rakyat solat berjemaah kena tangkap, pemimpin PN lepas

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, Razman Zakaria merangkap ADUN Gunung Semanggol melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila solat Asar berjemaah.

Pemimpin Pas itu bersembahyang bersama Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Norazmi Ghazali ketika singgah melawat Maahad Tahfiz al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah (MTQDI) di Kampung Luat.

Untuk rekod, Norazmi ialah bekas pemimpin Umno. Ahli Parlimen Bagan Serai dari PPBM itu menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kesihatan I pada 10 Mac lalu.

Turut diberitahu oleh pentadbir Facebook Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol dalam hantaran pada 17 April lalu ialah solat berjemaah tersebut diimamkan oleh Razman.

Walau bagaimanapun hantaran tersebut kemudiannya dipadam tetapi sempat ditangkap layar oleh pengguna Facebook sebelum tular di media sosial.

Ekoran itu, laman Pusat Khidmat wakil rakyat itu dihujani kritikan orang ramai yang menyifatkan Razman dan Norazmi telah melanggar arahan kerajaan sendiri agar mematuhi penjarakan sosial.

Tindakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu yang jelas melanggar PKP dilihat tidak dikenakan tindakan setakat ini.

Berbeza dengan wakil rakyat Bagan Serai yang solat berjemaah serta berkumpul menikmati juadah makanan kampung tanpa ditahan pihak polis, lain pula halnya dengan nasib penduduk tempatan.

Sekumpulan rakyat di Bagan Serai ditahan pihak berkuasa selepas didapati menunaikan solat secara jemaah di sebuah surau di Parit Husain kelmarin.

Tujuh lelaki berusia dari 14 hingga 64 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.15 malam selepas selesai solat Isyak kerana melanggar PKP.