Malaysia Dateline

Rakyat sudah penat, meluat dengan politik Muhyiddin, kata Raja Kamarul

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin menyifatkan rakyat sudah penat dan meluat dengan politik Tan Sri Muhyiddin Yassin merebut dan kini ingin bergantung pada jawatan dalam Bersatu bagi menghadapi pemilihan parti ketika nyawa rakyat terancam dengan Covid-19.

Katanya, rampasan kuasa kerajaan pintu belakang semasa peringkat awal Covid-19 telah menyebabkan wabak itu menjadi lebih serius.

“Tidak serik dengan tindakan tidak bertanggungjawab di peringkat awal Covid-19, kini di peringkat kritikal iaitu pihak tentera dibawa bertugas, Muhyiddin mencetuskan pula krisis dalam parti sendiri yang kononnya menerajui kerajaan Perikatan Nasional.

“Penubuhan kerajaan pintu belakang untuk merebut jawatan Perdana Menteri bukanlah untuk menyelamatkan negara.

“Pemecatan Setiausaha Agung Bersatu di saat kritikal negara dilanda wabak Covid-19 adalah usaha menutup pintu supaya beliau (Muhyiddin) terus kekal berkuasa dalam Bersatu.

“Apa yang jelas, negara yang rugi dan keselamatan rakyat dibelakangkan dengan episod terbaharu politik Muhyiddin ini,” bidasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Raja Bahrin yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu, rampasan kuasa kerajaan melalui pintu belakang ini telah membuatkan situasi Covid-19 yang pada awalnya di bawah kawalan, namun menjadi lebih parah.

Beliau berkata, ketika ini iaitu di saat situasi Covid-19 lebih kritikal, sekali lagi tindakkan Muhyiddin akan membawa situasi wabak ini ke dalam keadaan tidak menentu.

“Hilang tumpuan beliau dengan tindakan sendiri iaitu mencetuskan krisis politik baharu dalam parti Bersatu.

“Apabila gambar Perdana Menteri masih sibuk bermain golf waktu kritikal ini, saya bersangka baik beliau perlu merehatkan minda menghadapi masalah negara.

“Seolah-olah tidak ada pengajaran dari peristiwa pertikaian politik pertukaran kerajaan semasa Covid-19 telah menular dan keadaan menjadi lebih buruk.

“Masalah politik perebutan kuasa baru dalam Parti Bersatu pula muncul dengan pemecatan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki oleh Muhyiddin.

“Datuk Marzuki adalah penyokong Tun Mahathir yang tidak sehaluan dengan Muhyiddin. Walaupun mesyuarat agung telah ditunda kepada Jun 2020 oleh ROS, perlukah krisis dalaman kritikal parti Perdana Menteri sendiri diburukkan lagi di saat ini? Bolehkah Muhyiddin tumpu perhatian kepada masalah terbesar negara dan dunia dengan meningkatkan lagi konflik dalaman Bersatu?,” soalnya.