Malaysia Dateline

Rakyat semakin sedar propaganda burukkan DAP sudah lemau lagi basi

Angin telah meniupkan khabar, dalam beberapa bulan lagi rakyat akan keluar membuang undi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Persoalannya, mampukah PRU-15 ini diadakan dengan tanpa meninggalkan kesan seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu yang menyebabkan kes Covid-19 melonjak tinggi?

Bersediakah rakyat dan juga ahli-ahli politik menghadapi PRU-15 ketika pandemik belum lagi berakhir?

Pakatan Harapan (PH) dari awal konsisten menolak PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya mandat rakyat perlu dikembalikan kepada yang sepatutnya dalam kadar segera.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan parti Umno dilhat kuat menyatakan keinginan melaksanakan PRU-15.

Asyraf Wajdi kena ‘game’

Pada 24 Februari lalu, kecoh bahawa buku teks Sejarah Tingkatan 4 “mengagungkan” komunis berikutan satu hantaran Facebook (FB) tidak bertanggungjawab dibuat Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Asyraf Wajdi Dusuki.

Namun, mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pantas memberi jawapan balas akan fitnah yang jelas bertujuan untuk memburuk-burukkan kerajaan PH terdahulu.

Hal ini juga menimbulkan persoalan, sedekat manakah PRU-15 hingga Asyraf Wajdi terpaksa mengguna cara lapuk dengan tidak semena-mena menuduh PH “mengangkat” komunis?

Walhal, kurikulum buku teks itu disemak semula pada 2014 dan penggubalan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dilaksanakan pada 2017, iaitu ketika Menteri Pendidikannya adalah dari Umno sendiri.

Walaupun fitnah Asyraf Wajdi dilihat bertujuan untuk ‘game’ PH, khususnya DAP dengan menuduh PH cuba menanam semangat ‘Malaysian Malaysia’ ketika pemerintahan terdahulu, namun sebaliknya yang berlaku apabila respon daripada rakyat rata-ratanya menyarankan Dr Maszlee untuk menyaman Asyraf Wajdi.

Isu buku teks Sejarah Tingkatan 4 tersebut dilihat seolah-olah mahu menyerang DAP, namun usaha Asyraf Wajdi itu kurang berkesan dan ini dapat dilihat daripada komen-komen masyarakat, khususnya pengguna Melayu di FB.

Malah, begitu ramai yang mengatakan bahawa dakwaan Asyraf itu hanya taktik lapuk seperti komentar pengguna Facebook, Anuar Ali, “Nak buat isu tapi tak cerdik. Balik-balik isu komunis, isu perkauman yang dibawa oleh pimpinan atasan Umno. Boringlah.”

Seorang lagi pengguna FB, Abu Ismail berkata, “Aku rasa tak ada masalah apa pun. Tak ada isu mengagungkan pun. Hanya menceritakan fakta. Habis takkan dalam buku sejarah nak cerita pasal Umno saja.”

Adakah Umno masih akan berterusan memainkan isu perkauman dengan menjadikan DAP kambing hitam untuk menang PRU-15 ini, walaupun rata-rata masyarakat Melayu sudah tahu taktik lapuk mereka dan hanya memberi gambaran buruk kepada Umno sendiri?

Keterbukaan Melayu terhadap DAP berperingkat

56 tahun telah berlalu dan DAP secara perlahan-lahan mula diterima masyarakat Melayu umumnya.

Menurut Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Muhammad Shakir Ameer Mohideen, keterbukaan orang Melayu terhadap DAP merupakan suatu proses yang panjang dan berterusan.

“Mungkin sekarang kita tengok ramai orang Melayu tidak lagi takut dengan DAP, tidak mudah termakan propaganda negatif mengenai DAP dan mahu sertai DAP, namun usaha daripada parti perlu berterusan untuk memberi kefahaman kepada lebih ramai orang lagi.

“Usaha ini tidak boleh berhenti di sini,” katanya dalam satu sembang santai di aplikasi Clubhouse baru-baru ini.

Sejak zaman-berzaman Umno menggunakan propaganda yang sama bagi melemahkan DAP dan membuatkan masyarakat Melayu jauh daripada parti pelbagai kaum yang sah ini.

Dek perkembangan IT dan intelektual masyarakat yang semakin meningkat, propaganda buruk terhadap DAP dirasakan lemau dan akhirnya dilihat seperti meludah ke langit sahaja.

Asyraf Wajdi, mahupun mana-mana parti politik lain eloklah mempraktikkan saranan Muhyiddin Yassin baru-baru ini supaya tidak cuba menaikkan saham politik masing-masing menerusi eksploitasi perasaan antara kaum, walaupun pada awal pentadbiran PN, mereka sendiri yang menonjolkan imej kerajaan Melayu Islam.