Malaysia Dateline

Rakyat sudah tanya bila Pas mahu selesaikan kos sara hidup?

Pas yang kini berada di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dituntut untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup sebagaimana dijanjikan dalam pilihan raya lalu.

AJK AMANAH Nasional Faiz Fadzil berkata, rakyat sudah tertanya-tanya bilakah Pas mahu menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup seperti mana kenyataan Presiden Pas pada 9 Mac 2018.

“Baldatun thayyibatun dalam firman Allah dalam Surah Saba’ ayat 15, menuntut sesebuah kerajaan menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya mementingkan perebutan kuasa,” katanya.

Malah katanya, kegagalan Pas untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup ini memprejudiskan perjuangan Islam yang dibawa Pas dilihat lebih berminat kepada kepentingan kuasa.

Menurut Faiz, kenaikan harga barang sudah pasti meningkatkan kos sara hidup rakyat dan ia berlaku akibat inflasi adalah amat membimbangkan sekali gus menunjukkan kegagalan kerajaan PN menguruskan ekonomi negara dengan baik.

“Inflasi jika tidak dikawal akan menyebabkan krisis ekonomi rakyat semakin kronik, apatah lagi kadar pengangguran yang meningkat kepada 782,500 orang pada kadar 4.9 peratus pada Januari 2021.

“Jika indiviu yang bekerja sekalipun, gaji yang diterima tidak cukup menangani kos sara hidup sepertimana gaji graduan hanya sekitar RM1,001 hingga RM1,500,” kata beliau.

Malangnya, kata beliau setakat hari ini, tiada apa-apa perancangan strategik kerajaan PN menangani masalah kos sara hidup rakyat.

Beliau juga bimbang infliasi dijangka meningkat kepada 5 peratus dan keadaan ini menunjukkan PN tiada kehendak politik (political will) untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Tidak seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai kehendak politik menyelesaikan isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP).

“Langkah ini berjaya mengawal inflasi sehingga hanya 0.7 peratus bagi tahun 2019 dan ekonomi pula berkembang sebanyak 4.3 peratus bagi tahun yang sama,” katanya.

Ini jelas, katanya tadbir urus negara sepanjang 22 bulan tersebut dipandu oleh manifesto PH berbanding PN yang tiada manifesto.

“Justeru, dakwaan bahawa PH tidak menunaikan janji kini terbukti meleset,” ujarnya.

Sekarang orang ramai mula merungut tentang kenaikan harga barang terutama barang mentah dan segar seperti ayam, telur dan sayur di waktu Ramadan ini dan dijangka meningkat lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Keadaan ini turut diakui kerajaan PN sepertimana kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Che Abdullah Mat Nawi pada 17 April lalu.