Malaysia Dateline

Rakyat Sudan protes anti-kerajaan

Protes anti-kerajaan telah ditekan secara ganas di ibu negeri Khartoum, Sudan, selepas demonstrasi protes tersebut memasuki hari ketujuh di negara yang terletak di bahagian utara Afrika itu, menurut laporan CNN.

Protes tersebut dipelopori oleh golongan profesional yang terdiri daripada golongan doktor, peguam, guru dan para pelajar dengan sokongan parti-parti pembangkang terbesar di Sudan dimana protes ini mendesak supaya Presiden Omar al-Bashir untuk meletakkan jawatan.

Pada awalnya, demonstrasi ini bermula dengan memberi tumpuan kepada isu-isu kekurangan bekalan minyak di dalam negara serta peningkatan harga makanan yang menyebabkan harga seperti roti menjadi mahal sebanyak dua kali ganda.

Walaubagaimanapun, demonstrasi ini kemudiannya mendesak pemimpin kontroversi Bashir untuk meletakkan jawatan.

Bashir juga pernah didakwa atas kesalahan peperangan terhadap kemanusiaan, termasuk kesalahan penghapusan bangsa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkaitan konflik Darfur pada tahun 2010. Untuk rekod, Bashir telah memegang jawatan sebagai Presiden Sudan selama tiga dekad.

Sudan merupakan negara yang kaya dengan hasil minyak, tetapi kemiskinan merupakan isu kritikal di dalam negara tersebut dimana ramai pengkritik Bashir menyatakan bahawa punca masalah ekonomi Sudan adalah daripada amalan korupsi yang berleluasa.

Menurut data daripada agensi Kumpulan Wang Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF), hampir 20 peratus tenaga kerja di Sudan tidak mempunyai pekerjaan dan inflasi ekonomi telah meningkat hampir 70 peratus.

Pada protes tersebut, para pembantah telah melaungkan “Rakyat mahu menumbangkan regim (ini)” dan “Kebebasan! Kebebasan!,” yang turut mengimbas memori kebangkitan Arab Spring 2011.

Pihak keselamatan juga telah melepaskan tembakan gas untuk meleraikan demonstrasi tersebut, kata saksi kepada CNN.

Menurut Amnesty International, sekurang-kurangnya 37 orang telah terkorban sejak protes tersebut dan pihak Amnesty juga turut telah menyeru pihak kerajaan Sudan untuk memberhentikan tekanan kepada para pembantah.

“Oleh kerana pihak berkuasa telah menggunakan kekerasan kepada para pembantah yang tidak bersenjata, ia adalah sesuatu yang tidak menyenangkan,” kata Sara Jackson, timbalan pengarah bahagian Afrika Timur, Amnesty International di dalam kenyataannya.

Pada demonstrasi Selasa lalu, seorang aktivis bernama Ahmad Mahmoud berkata bahawa pihak polis tiba dengan trak lengkap bersenjata dan “melepaskan tembakan gas kepada kami (para pembantah),” kata beliau.

Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Norway, United Kingdom dan Kanada telah mengeluarkan kenyataan bersama pada Isnin lalu bahawa mereka bimbang dengan tekanan secara ganas kepada demonstrasi tersebut.

“Menurut laporan-laporan yang dipercayai, terdapat penggunaan tembakan oleh Kerajaan Sudan yang menyebabkan beberapa kematian,”. Keempat-empat negara ini turut menyeru kerajaan Sudan untuk memberhentikan tekanan secara ganas, amalan tahanan secara sewenang-wenangnya dan tapisan media.

Keadaan seperti di medan perang

Ahli politik pembangkang dan aktivis hak asasi manusia Sudan, Rudwan Dawood memberitahu CNN bahawa terdapat ratusan kenderaan pihak keselamatan telah menutup jalan masuk ke ibu negeri Khartoum untuk menghalang demonstrasi.

“Khartoum tidak seperti Khartoum yang saya tahu, keadaannya seperti di medan perang,” kata Dawood. Tambah beliau, beliau turut sama memprotes Presiden Sudan kerana “beliau telah gagal (dalam mengemudi negara),”.

Pada hari Selasa, Bashir telah menggelar para pembantah sebagai “pengkhianat dan agen asing” yang telah “menyalahgunakan dasar kesusahan hidup untuk memihak kepada agenda musuh-musuh Sudan,” lapor Sudan News Agency.

Beliau turut berkata akan memberi tekanan kepada pihak yang menuntut beliau untuk ditahan dan menjelaskan bahawa kerajaannya sedang maju kehadapan dengan pelbagai projek pembangunan yang akan memberi keuntungan kepada rakyat serta akan “menyelesaikan situasi sukar ini” tanpa memberi penerangan secara terperinci.

Tambah Bashir, “Perang di Sudan” telah berlaku kerana Presiden negara tersebut merupakan seorang yang “kuat pegangan agama dan bermaruah tinggi yang tidak boleh dijual beli,”.