Malaysia Dateline

Rakyat susah ditekan PKP, pemimpin Pas terlajak awal ucap Hari Raya

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan merangkap Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pagi ini dilihat membuat kejutan pada pagi 29 Ramadan ini.

Sebentar tadi, bekas Ahli Parlimen Temerloh itu telah memuat naik poster ucapan Selamat Hari Raya di Facebook sekali gus mengundang sindiran warganet.

Dia sebelum ini dilihat kerap menarik perhatian warganet dan menjadi bahan persenda, antaranya pernah memuat naik gambar hitam putih Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga penyokong Pas juga menasihatkan agar tidak mengundang kekeliruan kepada masyarakat.

“Salam Aidil Fitri Al Mubaarak. Maaf Zahir Batin. Dari saya, keluarga dan warga YADIM
buat seluruh umat Islam,” katanya pagi ini dalam poster dia berserban dan mengenakan kaca mata hitam.

Ada yang menyifatkan pemimpin Pas berkenaan mungkin teruja memandangkan parti dengan 18 kerusi Dewan Rakyat itu hanya kembali menyertai Kabinet selepas 43 tahun bergelar pembangkang.

“Awal buat ucapan raya ustaz..nak balik kampung ke?” usik Syamim Asyraf manakala Tengku Rozahan Tengku Zahid meninggalkan komen, “gatai nak raya ke?”.

Ucapan Aidilfitri oleh Nasrudin dengan turut tertera ungkapan “Fastabiqul Khairat Mengejar Kebaikan” itu juga dianggap warganet sebagai tidak ‘kena’ pada masanya.

Hal ini memandangkan sebahagian rakyat sedang tertekan akibat pelaksanaan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga hingga 7 Jun depan.

“Rakyat dok susah tak dapat raya, hang boleh sengeh pakai cermin mata hitam kat kami nah. Ajer bajang mike ni,” kata Muhamad Nur Ismail pula.