Malaysia Dateline

Rakyat tak puas hati Kelantan bayar hanya RM600 kepada peniaga

Tindakan kerajaan negeri Kelantan yang memperuntukkan bayaran saguhati berjumlahRM1.5 juta kepada peniaga terjejas di negeri itu, tidak mendapat sambutan baik dari rakyat Kelantan.

Bahkan, mereka menganggap tindakan tersebut sebagai zalim kerana kerajaan tidak mengambil kira kerugian dialami para peniaga.

“RM1.5 juta untuk 2,500 peniaga, seorang cuma dapat RM600 je, bersamaan untung meniaga hanya RM20 sehari untuk sebulan Ramadhan.

“Itu belum lagi rugi dah terbeli barang berniaga. Bagi lah banyak sikit. Mereka pun nak beraya jugak nanti. Apa punya zalim lah. Islam ke ni?,” soal seorang pengguna Twitter, Endie.

Seorang lagi pengguna yang menggunakan akaun Gang Utara, turut mempersoalkan pampasan diberikan oleh kerajaan Kelantan yang nilainya lebih kecil berbanding kerugian ditanggung peniaga terlibat.

“Peniaga kerugian ribuan ringgit hanya diberi pampasan RM600 sahaja? Itu pun hanya kepada RM2500 peniaga seluruh Kelantan,” ciapnya.

Ada juga yang berpendapat RM600 tidak akan mampu mengganti semula ribuan ringgit yang hangus.

“RM600 seorang? Boleh ke ‘cover’ kos barang dah beli sebab umum lambat. Nak cari sumber pendapatan lain pun tak sempat fikir sebab ‘announce last minute’,” tulisnya.

Pada masa sama, pengguna lain turut bersimpati dengan nasib ditanggung oleh peniaga terlibat yang terpaksa menanggung kerugian disebabkan arahan tersebut.

“Kesian weh niaga nak cari makan. Duit dah habis buat modal niaga. Last-last (hujung-hujung) bazar tutup,” katanya.

Terdahulu, kerajaan Kelantan mengumumkan akan memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta sebagai saguhati kepada seramai 2,500 peniaga kecil yang terkesan akibat pembatalan bazar Ramadan di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, seramai 2,500 peniaga yang berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri akan menerima manfaat tersebut dalam waktu terdekat.

“Kita cukup memahami bahawa setiap kali musim Ramadan, bazar Ramadan merupakan punca kepada peniaga kecil. Kita sudah menjangkakan kerugian akan dialami mereka kerana tidak meneruskan bazar ini,” katanya semalam.